Shahidan jamin pengambilan tanah Kg Baru dilakukan secara adil

 Shahidan jamin pengambilan tanah Kg Baru dilakukan secara adil

Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru akan dilakukan secara adil dengan mengutamakan kepentingan tanah dan pemilik unit rumah pangsa PKNS.

Shahidan berkata, beliau sendiri akan berunding dengan pemilik dan pemaju terbabit bagi memastikan persetujuan yang adil dapat dicapai.

Setiap orang akan diberikan layanan yang adil. Jika tidak, saya akan kurangkan masalah itu ke tahap minimum… Saya rasa menjelang Januari ia akan selesai,” katanya dalam sidang Dewan Khas di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) berhubung isu Sungai Baru, Kampung Baru.

Menurut Shahidan untuk menyelesaikan isu itu, beliau telah mencadangkan kepada pemaju untuk membayar nilai hartanah terlebih dahulu kepada pemilik dan membenarkan mereka membeli unit gantian apabila projek itu siap.

Langkah itu katanya bagi memastikan pemilik tidak menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai sekiranya pemaju gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Pemaju jangan ambil harta pemilik tanah dan kemudian caj di bank dan mereka (pemilik) menjadi mangsa (projek perumahan terbengkalai). Inilah kelemahan undang-undang yang perlu kita lihat.

“Kami mahu memastikan pemaju mempunyai kekuatan kewangan dan tidak menggunakan tanah untuk mendapatkan wang. Ramai pemaju sekarang boleh (bayar) lebih awal,” katanya.

Terdahulu, ketika membahaskan usul itu, Khalid mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memperoleh tanah di kawasan itu untuk pembangunan semula oleh pemaju swasta.

Usul itu turut dibahaskan oleh tiga lagi Ahli Parlimen iaitu Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Teresa Kok (PH-Seputeh).

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  3  =