Seratu Aatai promosi lindungi Gajah Sabah terkecil di dunia

 Seratu Aatai promosi lindungi Gajah Sabah terkecil di dunia

GAMBAR FILE – KOTA KINABALU 12 JANUARY 2016. ( KKB851S – BH Plus ) Joe, anak gajah Pygmy Borneo ketika berada di sisi bangkai induknya yang mati bersama 13 gajah lain di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau, tiga tahun lalu.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 14 April – Hati siapa yang tidak tersentuh melihat sekeping gambar seekor anak gajah Pigmy Borneo atau `Gajah Sabah’ yang berusia tiga bulan ‘membelai’ bangkai ibunya yang sudah mati dipercayai diracun di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau pada Januari 2013.

Bangkai gajah unik yang hanya boleh ditemui di Pantai Timur Sabah dan utara Kalimantan itu adalah seekor daripada 10 ekor gajah betina dan tiga jantan yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati ketika itu.

Peristiwa sedih yang kekal diingati sehingga kini itu hanya satu daripada puluhan kes pembunuhan kejam gajah terkecil di dunia yang secara genetik hanya ada di Sabah serta Kalimantan dan berbeza dengan spesies gajah lain di Asia.

Januari lalu misalnya, pembunuhan kejam seekor gajah Pigmy di Tongod, Kinabatangan amat menyedihkan apabila `gergasi lembut Borneo’ itu disiat kulitnya dengan anggota badannya dipotong dan dihamparkan seperti permaidani.

Kegiatan pemburu haram yang berleluasa di Sabah dipercayai akibat permintaan tinggi gading haiwan itu untuk pasaran luar negara khususnya China, selain diproses untuk dijadikan mahar atau mas kahwin, ubat dan perhiasan.

Carian menerusi Internet, mendapati harga gading gajah Pigmy antara RM4,000 hingga RM9,000 sekilogram.

Kerakusan manusia dalam ‘merampas’ habitat gajah Sabah juga satu ancaman terbesar kepada kepupusan haiwan yang sememangnya terancam itu kerana sebahagian kawasan habitat gajah yang dahulunya dilitupi hutan telah dijadikan ladang kelapa sawit.

Perubahan drastik ini menyebabkan populasi gajah Sabah kehilangan habitat semula jadi dan boleh diakses semakin berkurangan, sekali gus menyebabkan gajah masuk kampung dan membuat ‘gangguan’ di kawasan ladang dan perkampungan masyarakat setempat.

Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman giat menjalankan program menyelamatkan gajah Pigmy.

Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman, berkata populasi gajah Pigmy di Sabah dalam julat 1,500 hingga 2,000 ekor mencakupi  Julat Gajah Terurus (MERs) di tengah Sabah dalam lingkungan 1,000 ekor, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu (350 ekor) dan Kinabatangan (250 ekor).

Katanya, pemburuan haram sukar dibendung kerana apabila pendakwaan mahu dijalankan, pemburu atau pesalah jarang dapat ditangkap.

“Setahu saya, mengikut rekod ketika ini hanya satu kes didakwa di mahkamah iaitu enam  suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam gajah Pigmy di Sungai Udin, Kalabakan, Tawau pada Oktober 2019.

“Di kawasan ladang, sukar mengesan punca kematian gajah, sama ada diracun, keracunan makanan dan faktor lain, ini termasuk, kes seekor haiwan itu ditemui dipercayai keracunan makanan di sebuah ladang di kawasan Malua, Ulu Segama, Lahad Datu.

“Konflik gajah Pigmy dengan manusia antaranya berpunca daripada kawasan yang dibuka pernah menjadi habitat haiwan itu, kedudukan ladang, sama di tengah antara dua hutan, atau terdapat lingkaran pagar elektrik yang menyukarkan gajah serta tertarik dengan sumber makanan, apabila pokok sawit ditebang untuk penanaman semula,” katanya kepada Wacana.my.

Di tanya sama ada, gajah Pygmy Borneo mengancam pengguna jalan raya khususnya di Kalabakan, Dr Nurzhafarina berkata, ia tidak berlaku, sebaliknya kemungkinan kehadiran kenderaan dan pembinaan jalan raya yang menganggu pergerakan gajah.

Dalam pada itu, beliau berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Seratu Aatai turut berperanan menyelamatkan gajah Pygmy termasuk menjalankan kajian saintifik bagi membantu penggubalan dasar yang lebih baik untuk melindungi haiwan berkenaan.

Selain itu katanya, merancang dan mewujudkan kerjasama antara semua pemegang taruh,  mencari dana peringkat tempatan dan luar negara untuk program perlindungan, memberi latihan dan pendedahan kepada masyarakat tentang perilaku dan keperluan gajah untuk menyelamatkannya daripada kepupusan.

Dua ekor anak gajah Sabah atau lebih dikenali sebagai gajah pygmy bermain di dalam air di tebing Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit, Kinabatangan.

Ini mengambil kira mengurus landskap dan keperluan gajah Sabah yang memerlukan kerjasama dan komitmen padu semua pihak.

Mengenai Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina berkata, nama itu berasal daripada bahasa etnik Sungai yang bermaksud perpaduan dengan menumpukan usaha memahami ekologi gajah Pygmy di luar kawasan perlindungan dan membangunkan keupayaan tempatan untuk menangani konflik antara gajah dan manusia di Sabah.

Seratu Aatai menjalankan kajian saintifik bagi memahami kaedah membina landskap mesra gajah terutama di luar kawasan dilindungi, selain memberi pendidikan serta mempromosikan kepentingan mengenali, mencintai, melindungi dan memulihara haiwan itu dalam kalangan masyarakat.

“Kami turun padang untuk bersama-sama memberi perhatian terhadap isu gajah Pygmy  bersama Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, dan terbaharu, Badan Amanah Konservasi Gajah Bertanggungjawab (Respect),” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  71  =  78