Serantau Muslim bina masjid yang ditunggu 20 tahun

 Serantau Muslim bina masjid yang ditunggu 20 tahun

Oleh Idzham Hadi Sidik

TAMBUNAN: Penantian lebih 20 tahun masyarakat Islam di Kampung Tunggaring di sini untuk memiliki rumah ibadat berakhir apabila Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) telah membina sebuah masjid di kampung itu.

Masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwaqafkan seorang penduduk kampung tersebut selepas Serantau Muslim bersetuju untuk membinanya.

Masjid yang diberi nama Masjid As-Syakirin Serantau Muslim itu dibina hasil sumbangan orang ramai melalui Serantau Muslim yang mana kos pembinannya kurang daripada RM100,000.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, idea pembinaan itu tercetus selepas beliau turun ke kawasan berhampiran dalam misi bantuan tahun lalu.

“Ketika saya turun ke sebuah kampung tidak jauh daripada lokasi masjid ini, ada penduduk kampung yang meluahkan hasrat agar ada masjid mahupun surau di kampungnya.

“Penduduk kampung itu memaklumkan, lebih 20 tahun mereka menunggu dan berusaha untuk membina masjid namun rezeki belum sampai.

 

“Selepas itu, kami daripada NGO Serantau Muslim telah berusaha mengumpul dana dan Alhamdulillah akhirnya masjid ini berjaya dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian masjid itu, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abdul Ghani; Pegawai Tadbir Agama Daerah Tambunan, Noor Jannah;  Penyelaras Masjid Daerah Tambunan Ramlin Asri; dan wakil penduduk kampung itu.

Mohd Hakim berkata, ini adalah masjid pertama yang telah dibina, dan ada satu lagi masjid di daerah ini sedang dalam pembinaan hasil sumbangan Serantau Muslim.

Selain itu, beliau berkata, Serantau Muslim bersetuju menaja 10 orang imam bagi tempoh setahun dalan menggiatkan lagi usaha dakwah di negeri itu.

Beliau mensasarkan akan membina lapan lagi masjid di Sabah sebagai usaha membantu masyarakat luar bandar untuk beribadat dan beraktiviti.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Tambunan, berkata, masjid tersebut adalah masjid pertama yang dibina badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.

Beliau berkata, pada awalnya pembinaan ini berstatus surau namun akhirnya pihak berkuasa bersetuju menjadikan ia berstatus masjid.

“Ini adalah satu usaha yang sangat murni. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Serantau Muslim kerana merealisasikan hasrat penduduk kampung di sini.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar dapat terus bersama-sama membantu kerajaan membina rumah-rumah ibadat khususnya bagi orang Islam di pedalaman.

Dalam perkembangan berkaitan, Serantau Muslim telah memulakan pembinaan masjid kedua di Tambunan, kali ini di Kampung Watang.

Majlis pecah tanah Masjid Raja Ahmad Iskandar, Kampung Watang telah diadakan pada 9 April lalu dan ia menelan kos pembinaan kira-kira RM250,000.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

98  −    =  91