Seramai 1,286 remaja tercicir terima vaksin di Pahang

 Seramai 1,286 remaja tercicir terima vaksin di Pahang

Seorang remaja menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program pemberian vaksin pada gelandangan dan komuniti Lorong Wang Ah Jang dan Jalan Pasar Besar.

KUANTAN, 18 Okt — Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesan seramai 1,286 remaja di negeri ini yang tercicir menerima vaksin COVID-19.

Mereka terdiri daripada gelandangan dan orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang tidak bersekolah.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, program Outreach merupakan sebahagian daripada program jangkauan luar yang sedang dirangka di negeri ini bagi mengesan golongan yang tercicir.

“Kita akan mengadakan program Outreach sebanyak mungkin di semua daerah, sebagai contoh minggu lalu kita adakan program suntikan di masjid dan mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita akan teruskan program ini di kawasan tumpuan atau tempat awam bagi mencari mereka yang masih belum menerima vaksin.

“Kita bercadang untuk memulakan program Outreach di pasar raya dan kampung kerana kita merasakan masih terdapat kumpulan penduduk yang masih belum menerima vaksin,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat berusaha mengesan 1,286 remaja yang tercicir daripada menerima vaksin, kerjasama agensi kerajaan berkaitan dapat mengesan golongan terbabit yang turut memerlukan pembelaan.

Katanya, pihaknya sentiasa berusaha memberi vaksin kepada seberapa ramai penduduk negeri ini termasuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman, usaha yang dilakukan kini semakin berhasil dengan kerjasama pelbagai pihak.

Dr Nor Azimi berkata, kerjasama agensi kerajaan dan swasta dapat melancarkan lagi program pemberian vaksin yang dilakukan secara berterusan di seluruh negeri ini.

Mengenai pemberian dos ketiga vaksin COVID-19, beliau berkata, Pahang mempunyai perancangan dan bersedia sebagaimana kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi dan garis panduan dari Kementerian Kesihatan sebelum memulakan dos penggalak vaksin COVID-19 di Pahang.

“Perancangan untuk pemberian dos ketiga perlu mendapat garis panduan yang lengkap daripada pihak KKM sebelum dilaksanakan,” katanya yang berharap mereka yang layak menerima vaksin segera berbuat demikian.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

41  +    =  43