• Thursday, 17 June 2021, 1:42 pm

Seni doodle: Contengan abstrak Sarah Salim

 Seni doodle: Contengan abstrak Sarah Salim

Oleh Mohd Kamal Ahmad

 

LUKISAN conteng, itulah doodle. Ia dilukis secara spontan. Modal melukis doodle hanya material asas seperti kertas, pen dan pensel. Jadi, doodle disifatkan karya yang semua orang akan lakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Seni doodle secara tidak langsung dikenali sebagai coretan santai. Coretan doodle selalunya dalam bentuk kartun atau komik, bentuk corak sesuatu objek, landskap, animasi dan sebagainya. Ia dipaparkan di atas sekeping kertas, buku, dinding atau di medium lain.

Doodle pada pendapat Sarah Salim: “… ia bermula dari zaman dahulu kala, di mana kita semua maklum tentang lukisan atau coretan di dalam gua. Ia mempunyai sebuah naratif atau informasi dalam bentuk coretan, tambah lagi dengan peralatan yang dibuat sendiri untuk melakar coretan di dinding.”

Sarah adalah antara penggiat Seni doodle di ibu negara. Karyanya disiarkan dalam akhbar The Star setiap hari kecuali Ahad. Dia diberi peluang untuk berkarya dalam kolum tersebut mulai 2016 dan dinamakan ‘Doodlism by Sarah Salim.” Menerusi kolum itu, dia menghasilkan karya dengan mesej yang disampaikan dengan lebih mudah difahami.

Menurutnya, doodle juga dilukis secara terancang. Ia boleh ditambah nilai dengan corak-corak yang diperincikan dengan motif tertentu. Pada masa sama, doodle adalah lakaran conteng tanpa dirancang atau tidak diberi fokus.

“Doodle juga adalah sebuah coretan yang ringkas sama ada mempunyai makna tersirat ataupun yang berbentuk seni abstrak. Bagaimanapun, ia memerlukan banyak latihan jika seseorang ada minat yang mendalam untuk menghasilkan karya doodle,” katanya kepada Wacana.my.

Sarah berkata, tahap penghasilan doodle ialah idea, coret (contengan), menambah elemen-elemen dan diakhiri dengan mewarna sebagai optional. Karya doodle biasanya  dilakar menggunakan mechanical pencil dan drawing pen selain medium lukisan menggunakan acrylic color dan water color.

“Cat minyak? Saya jarang-jarang gunakan,” katanya yang boleh dihubungi menerusi Instagram: @sarahsalim.official

Sarah mengendalikan satu bengkel melukis doodle

Selangkah lagi mengenai Sarah, dia minat melukis sejak kecil.  Ketika itu, dia sekadar membuat lakaran-lakaran yang mudah di sketch book. Apabila ada keyakinan diri, Sarah melukis ke tahap yang seterusnya dengan lebih mendalam sehingga tingkat sekarang.

Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bapa Sarah mendaftarkan dia di sebuah kolej seni di Ipoh, Perak. “Agaknya dia (bapa) faham minat mendalam Sarah dalam seni,” katanya yang berjaya menggapai kelulusan Diploma dalam Seni Grafik dan Pengiklanan tiga tahun kemudian.

“Bapa dan kakak Sarah yang banyak mendorong dan beri sokongan yang kuat sehingga kini pada Sarah dalam bidang seni ini sejak kecil lagi,” katanya.

Katanya, seni doodle ada ramai peminat di negara ini. Itulah antara yang mendorong Sarah mengelolakan bengkel doodle untuk kanak-kanak dan kalangan dewasa.

“Sarah seorang yang amat pemalu, tetapi dengan mengadakan workshop ini, ia telah meningkatkan keyakinan Sarah untuk bertemu dan berhadapan dengan orang,” katanya.

Menurut Sarah, ada banyak kelab dan persatuan seni doodle di Malaysia. Antaranya, “Doodle Malaysia – Do you doodle?” yang ditubuhkan pada 2012. Karya ahlinya dimuat naik dalam Facebook “Doodle Malaysia – Do you doodle?” Karya mereka amat mengagumkan dan memberi inspirasi kepada Sarah untuk terus berkarya dalam seni ini.

Pada 2015, Sarah menyertai kelab dan amat bertuah kerana pengelola kelab, Encik Faizzal Fah’d memberi dorongan dan peluang kepada Sarah untuk mempamerkan karyanya serta mengelolakan bengkel kelab tersebut.

Berapa banyak karya yang telah dihasilkan? Sarah menganggarkan jumlahnya lebih 1,000. Ini termasuk komisen dan lukisan pada sketch book, karya di kanvas dan mural, serta karya dalam ‘Doodlism by Sarah Salim’ serta-lain medium sejak 2012.

Sarah mengakui collector lukisan ini juga ramai. “Pembeli karya Sarah agak ramai, tapi tidak semua karya Sarah mereka beli. Mereka hanya mengikuti karya sahaja. Ada beberapa lukisan Sarah jual pada jualan bazaar seni dan pameran lukisan. Ada juga engikut Instagram dan Facebook datang memberi sokongan dengan membeli hasil karya Sarah, sama ada original ataupun bercetak.”

Testimoni yang menarik, seorang peminat dari Ipoh, sanggup memotong lukisan doodle dari suratkhabar. Cucunya kemudian mewarnakan doodle tersebut sebelum disimpan dalam bingkai.

“Bagi Sarah, ini membuat Sarah rasa lebih yakin dan berinspirasi untuk terus berkarya,” katanya.

Soal harga pada karyanya, Sarah sukar untuk membuat ketetapan. Jadi, dia hanya menjual pada harga paling rendah iaitu RM50 dan ke bawah. Kemudian, Sarah mendapatkan pandangan kakaknya dan kini dia menawarkan harga lebih munasabah untuk karyanya.

“Misalannya, tahun lepas ketika pameran seni solo Sarah, ada beberapa lukisan kanvas bersaiz 4 x 4 kaki mendapat tawaran, jadi Sarah minta pandangan dan nasihat kakak mengenai harganya,” katanya.

Setakat ini, Sarah menyertai pameran berkumpulan pada 2018 dan 2019 di Cyberjaya dan satu pameran solo pada 2020 di Taman Maluri Shopping Centre. Karya-karya Sarah dipamerkan selama sebulan.

Sebelum itu, Sarah bekerjasama dengan MPH pada 2016 bagi menghasilkan buku doodle mewarna untuk dewasa bertajuk “Malaysian Animals.” Pada hujung 2019, Sarah menghasilkan kalendar doodle bertajuk “Mandala Girls”.

Mengenai artis doodle dunia yang menjadi idola, Sarah berkata, antaranya Kerby Rosanes dari Filipina yang menghasilkan banyak buku doodle dari 2013 sehingga sekarang. Selain itu, Sam Cox atau lebih dikenali sebagai Mr Doodle dari England yang mempunyai ramai pengikut. Beliau mencoretkan watak-watak dan objek-objek yang comel.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *