Senarai 11 portfolio Exco Melaka diumum hari ini

 Senarai 11 portfolio Exco Melaka diumum hari ini

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali

AYER KEROH 26 Nov – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan 11 portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka, hari ini.

Portfolio itu didahului dengan Sulaiman yang memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Beliau berkata, bagi portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan akan digalas oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, senarai itu diikuti tujuh lagi muka baharu yang memegang jawatan Exco di negeri ini serta dua muka lama iaitu Datuk Rahman Mariman dan Datuk Muhammad Jailani Khamis.

“Bagi portfolio Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, dan Kebudayaan kekal dipegang oleh Datuk Muhammad Jailani Khamis manakala Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir oleh Datuk Rahmad Mariman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan senarai barisan Exco di pejabatnya, Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara muka baharu yang ditampilkan pada barisan Exco adalah Datuk Zaidi Attan yang akan memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar; Datuk Rais Yasin (Pendidikan dan Teknologi); Dr Muhamad Akmal Saleh (Kesihatan dan Antidadah) serta Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Industri Asas Tani).

“Selain itu, Datuk Kalsom Noordin pula dilantik Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan; Ngwe Hee Sem (Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna) serta V P Shanmugam (Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Sulaiman berkata pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka belum diputuskan berikutan perkara itu mengambil sedikit masa untuk diperhalusi sebelum DUN bersidang.

“Pelantikan Speaker belum lagi sebab dewan lambat lagi bersidang. Kita ada lagi masa untuk perhalusi sebelum kita ketengahkan nanti,” katanya.

Azlan Abdollah

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  6  =