• Friday, 18 June 2021, 1:29 am

Semua kontijen ke Sukan Olimpik Tokyo perlu vaksin penuh

 Semua kontijen ke Sukan Olimpik Tokyo perlu vaksin penuh

The logo for the Tokyo 2020 Olympic Games is seen in Tokyo on February 15, 2020. (Photo by CHARLY TRIBALLEAU / AFP)

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020 Toshiro Muto berkata semua kontinjen disyaratkan perlu menerima vaksin penuh sebelum tiba di Jepun bagi menyertai temasya yang dijadualkan bermula pada 23 Julai ini.

Muto menolak dakwaan bahawa 10 negara termasuk Malaysia disekat daripada menyertai temasya sukan itu bulan depan susulan lonjakan kes COVID-19 yang sedang dialami negara.

“Kami tidak pernah mendengar tentang perkara itu yang langsung tidak berasas, malah kami tidak menimbang langkah tersebut sebagai satu kemungkinan.

“Mengenai (kebimbangan) varian baharu dari India, sebelum datang ke Jepun, mereka perlu menerima vaksin lengkap. Itu dasar yang kita umumkan, vaksinasi 100 peratus disyaratkan (bagi atlet) dari India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh serta negara yang berkaitan.

“Mereka harus berunding dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan mereka perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum memasuki Jepun,” katanya pada sidang media di Tokyo hari ini.

Selain itu, Muto turut menafikan terdapat perbincangan tentang pembatalan atau penangguhan seterusnya Sukan Olimpik dan Paralimpik yang sudahpun tertangguh setahun disebabkan pandemik COVID-19.

Terdapat laporan dari sebuah akhbar harian bahawa kerajaan Jepun telah mengeluarkan arahan kepada jawatankuasa penganjur agar menyekat kemasukan 10 negara yang sedang mengalami lonjakan kes COVID-19.

Menurut laporan itu lagi, jika jawatankuasa tersebut gagal menyekat kemasukan atlet, langkah-langkah lebih ketat perlu dikenakan ke atas mereka termasuk dikuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara lain yang dinamakan dalam laporan berkenaan adalah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Walau bagaimanapun, kerajaan Malaysia telah memberi jaminan bahawa semua atlet dan pegawainya akan menerima vaksinasi penuh sebelum berlepas ke Tokyo.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *