Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Sembilan remaja berkonvoi dikompaun RM18,000

ISKANDAR PUTERI, 29 Jun – Tindakan sembilan remaja berkonvoi dengan motosikal membawa padah apabila ditahan dan dikompaun RM18,000 dalam satu operasi di Lebuhraya Kota Iskandar, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka ditahan dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di kawasan susur Lebuhraya Kota Iskandar menuju Lebuhraya Sultan Ismail pada jam 6 petang.
“Mereka yang dikompaun itu berusia antara 16 hingga 19 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita. Remaja itu merupakan pelajar, pekerja kilang, kakitangan swasta dan nelayan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka telah melakukan kesalahan keluar melebihi radius 10 kilometer dari alamat tempat tinggal tanpa sebarang alasan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dzulkhairi berkata, kumpulan remaja tersebut juga tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkenaan.
Sehubungan itu, kesemua mereka dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM18,000.
“Tindakan ini dibuat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) 2021,” katanya.