Sembilan lot bengkel dan stor terbakar ada unsur disengajakan – Bomba

 Sembilan lot bengkel dan stor terbakar ada unsur disengajakan – Bomba

Sebahagian 16 kenderaan yang terbakar di kawasan perindustrian Padang Lalang.

KUANTAN, 19 Sept — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tidak menolak kemungkinan kejadian kebakaran sembilan lot bengkel kenderaan serta stor di kawasan perindustrian Padang Lalang, di sini disengajakan.

Kejadian berlaku 4.40 pagi pada 11 September lalu itu menyebabkan 95 peratus sebaris bangunan teres yang dijadikan lima premis musnah.

Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati terdapat unsur khianat atau disengajakan membakarnya oleh pihak tertentu.

Katanya, siasatan telah dilakukan dari pelbagai sudut dan mendapati ia boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat bukan disebabkan litar pintas dan punca lain yang menyebabkan kebakaran berlaku.

Wan Mohd Zaidi

“Kita telah menyerahkan laporan siasatan kejadian kebakaran itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mereka melakukan lanjut sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Dalam kejadian itu sebanyak 16 kenderaan pelbagai jenis termasuk dua jentera angkat susun (forklift) musnah, turut musnah pelbagai peralatan termasuk kabel Telekom Malaysia (TM) Berhad dan beberapa unit enjin kuasa elektrik milik syarikat kontraktor TM,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pada 27 Ogos lalu sederet lapan premis bengkel kenderaan dan jentera berat yang terletak di kawasan sama turut musnah terbakar, kejadian kira-kira lima pagi itu menyebabkan sepuluh kenderaan termasuk kereta dan jentolak musnah.

Wan Mohd Zaidi berkata, laporan siasatan dua kes kebakaran di kawasan perindustrian Padang Lalang sudah lengkap disediakan dan diserahkan kepada pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan diambil.

Katanya, JBPM Pahang akan memberi kerjasama sepenuhnya pada pihak berkuasa yang terbabit menyiasat kes kebakaran terbabit, pihaknya yakin kes berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“JBPM Pahang sentiasa memberi perhatian serius dalam melakukan siasatan punca kebakaran yang berlaku di negeri ini, kepakaran anggota pasukan forensik JBPM Pahang tidak perlu dipertikaikan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  2