Sembilan lot bengkel dan stor musnah terbakar di Padang Lalang

 Sembilan lot bengkel dan stor musnah terbakar di Padang Lalang

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha memadam kebakaran di kawasan perindustrian Padang Lalang.

KUANTAN, 11 Sept – Sebanyak 16 kenderaan moden serta klasik termasuk dua foklif musnah dalam kebakaran membabitkan sederet sembilan bengkel serta stor di kawasan perindustrian Padang Lalang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 4.40 pagi itu merupakan yang terburuk di pernah berlaku di kawasan berkenaan, dua minggu lalu lapan bengkel di kawasan itu turut musnah dalam kebakaran awal pagi.

Pengurus Besar Getra Sdn Bhd, Azlindawatty Muhamed berkata, hampir keseluruhan dua stor menyimpan pelbagai peralatan termasuk kabel Telekom Malaysia (TM) dan beberapa unit enjin kuasa elektrik musnah dalam kebakaran hari ini.

Menurutnya, turut terbakar sebuah foklif dan motosikal yang digunakan untuk memindahkan pelbagai peralatan, pihaknya mula menyewa dua unit stor itu tahun lepas yang terletak berhadapan dengan pejabat urusan syarikat.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu pada kira-kira 5 pagi sebelum segera datang bersama beberapa kakitangan lain, api sedang marak ketika itu dan usaha memadam api dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat.

“Kerugian dianggarkan lebih RM1 juta dan kebakaran berkenaan akan menjejaskan operasi pemasangan kabel TM berkuasa tinggi di beberapa kawasan di Pahang Timur,” katanya yang merupakan kontraktor TM.

Pemilik bengkel membaiki kereta, Lee Meng Choy, 32, berkata, sebanyak 16 kereta pelbagai jenis miliknya termasuk beberapa pelanggan musnah terbakar hanya dalam sekelip mata sahaja.

Menurutnya, lebih menyedihkan lagi beberapa kereta klasik kesayanganya seperti Jaguar dan Volkswagen yang disimpan dalam bengkel berkenaan turut musnah dalam kebakaran awal pagi tadi yang dianggap misteri.

“Dua minggu lalu tiga kenderaan yang disimpan di stor miliknya terletak kira-kira 50 meter dari bengkelnya turut musnah terbakar, kebakaran juga berlaku bermula kira-kira enam pagi.

“Saya tidak pasti punya kebakaran hari ini yang begitu menyedihkan dan sukar untuk mempercayainya, saya tidak pasti jumlah kerugian ditanggung,” katanya yang berharap pihak berkuasa segera menyiasat punca kebakaran berlaku.

Katanya, belum sempat dia selesaikan kes kebakaran yang berlaku dua minggu lalu, hari ini kebakaran yang lebih besar berlaku yang hampir menutup periuk nasinya dan beberapa pekerja.

Sementara itu Komander Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sembilan lot membabitkan lima premis yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai peralatan dan barangan termasuk bengkel kereta musnah terbakar.

“Kita menerima panggilan kira-kira 4.40 pagi, seramai 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng terbabit menyertai operasi memadam kebakaran berkenaan.

“Pihak Bomba dan Penyelamat mengambil masa panjang untuk memadam api di stor pakaian bundle kerana simpananya yang banyak berikutan baru tiba semalam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian kebakaran itu serta jumlah kerugian.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

14  −  11  =