Semangat Kaamatan redakan perang dingin PBS-STAR 

 Semangat Kaamatan redakan perang dingin PBS-STAR 

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SAMBUTAN Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai yang diraikan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) sepanjang Mei ini dijangka meredakan seketika `perang dingin’ antara dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Walaupun dua parti itu berteraskan masyarakat pelbagai kaum, namun kedua-dua presidennya berbangsa Kadazandusun dan hampir semua kerusi dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, September tahun lalu adalah kawasan majoriti KDM.

Jeffery Kitingan

Daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi PBS, hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, majoriti pengundinya Bumiputera Islam.

Enam lagi kerusi dimenangi parti itu adalah dominan KDM iaitu DUN Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Kundasang dan Telupid.

Semua enam kerusi DUN dimenangi STAR dalam PRN-16 juga adalah majoriti KDM iaitu DUN Tambunan menerusi Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, selain Paginatan, Bingkor, Liawan, Tulid dan Sook. Keseluruhannya Sabah mempunyai 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 25 kerusi Parlimen.

Tidak hairan, Dr Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Utama Kaamatan Negeri, mahu PBS yang juga sekutu STAR dalam GRS memperkukuhkan kerjasama sesama parti komponen GRS bukannya mengeluarkan kenyataan yang akan memecahbelahkan mereka.

Ini susulan kenyataan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bahawa parti itu menuntut kerusi tradisi di Parlimen Keningau dan DUN Tambunan yang kini milik STAR dikembalikan kepada PBS, mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan pemimpin STAR.

Maximus Ongkili

Kedua-dua kerusi itu dimenangi STAR dalam PRU-14 dan parti itu mengulangi kejayaan berkenaan apabila memenangi kerusi DUN Tambunan dalam PRN Sabah, tahun lalu walaupun PBS turut bertanding.

Kenyataan Dr Maximus menimbulkan polemik apabila Setiausaha Agung STAR, Datuk Guandee Kohoi menegaskan partinya faham keinginan PBS untuk mengimbas kembali sejarah kegemilangan mereka di kedua-dua kerusi sebelum tewas kepada STAR.

Namun, STAR tidak mudah menyerahkan kerusi yang kini menjadi kubu kuat mereka apatah lagi parti itu lahir di Tambunan, sama seperti PBS.

Setiausaha Penyelaras STAR Kota Marudu, Jovilis Majami menerusi catatan dalam blog pula menegaskan kenyataan PBS itu menunjukkan mereka tidak mahu bekerjasama dengan STAR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau PRN Sabah akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin yakin semangat Kaamatan akan meredakan seketika perang dingin antara partinya dan PBS sejajar tema sambutan tahun ini `Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Kedamaian dan Keamanan’.

Jeffrey Kumin

Katanya, masih ada ruang kedua-dua parti untuk bekerjasama dan melupakan sengketa yang bermula sejak PRN Sabah tahun lalu apabila berlaku pertembungan sesama mereka di enam kerusi termasuk DUN Tambunan, selain  Moyog, Paginatan, Bingkor, Liawan dan Tulid walaupun bernaung di bawah GRS.

Beliau berkata, pucuk kepemimpinan kedua-dua parti mempunyai agenda besar untuk menyelesaikan isu berbangkit demi kepentingan rakyat Sabah khususnya masyarakat rumpun KDM.

“Saya secara peribadi mahu kedua-dua parti digabungkan, namun lain pula berlaku apabila PBS bertindak menuntut kerusi milik kami khususnya Parlimen Keningau dan DUN Tambunan,” katanya kepada Wacana.my.

Mujibu Abd Muis

Sementara itu, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, berdasarkan senario politik dalam PRN Sabah Ke-16, kedua-dua parti politik itu masih ada sentimen untuk membuktikan `hero’ sebenar masyarakat KDM.

Katanya, secara realitinya masyarakat berkenaan bersatu menyokong calon PBS dan STAR sehingga hampir semua kawasan KDM dimenangi dua parti terbabit walaupun berlaku pertembungan sesama sendiri di enam kerusi.

Beliau berkata, walaupun ramai pemimpin STAR asalnya dari PBS termasuk Dr Jeffrey, namun kini kedua-dua parti mempunyai sokongan kuat daripada masyarakat KDM apabila hanya terlepas beberapa kerusi majoriti KDM seperti DUN Kadamaian, Inanam, Moyog, Kemabong, Melalap dan Pitas yang pernah menjadi kubu kuat PBS suatu masa dulu, selain kerusi baharu DUN Limbahau.

“Jika mahu digabungkan perlu ada mekanisme utama yang menjadi asas penggabungan kerana apa yang pasti kedua-dua parti ada sokongan akar umbi kuat daripada masyarakat KDM,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

75  −  71  =