Semangat, ‘jiwa muda’ Peja dilihat sesuai dengan kementerian diterajuinya

 Semangat, ‘jiwa muda’ Peja dilihat sesuai dengan kementerian diterajuinya

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Perwatakan ceria dan ‘jiwa muda’ yang dimiliki Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dianggap sesuai dengan portfolio yang diberikan kepadanya untuk menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ahmad Faizal, 50, yang lebih mesra disapa sebagai ‘Peja’ merupakan antara dua muka baharu dalam barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu sebelum ini melepaskan jawatan Menteri Besar setelah gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 4 Dis lepas.

Dilahirkan pada 10 Jun 1970, Ahmad Faizal sebelum ini adalah Penasihat Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dari 2012 hingga 2014 sebelum menjadi pegawai khas kanan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sehingga 2016.

Ahli Parlimen Tambun itu pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat pada 2016 sebelum keluar daripada parti itu dan menjadi Pengerusi PH serta Pengerusi Bersatu Perak pada 2017.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ahmad Faizal, yang bertanding atas tiket Bersatu memenangi kerusi Parlimen Tambun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang.

Ketika menjawat jawatan menteri besar, Ahmad Faizal juga menyandang jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Anak kepada veteran UMNO, Allahyarham Datuk Azumu Tak, berkahwin dengan Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

64  −  63  =