Semakin ramai pelancong ke Mossy Forest

 Semakin ramai pelancong ke Mossy Forest

Pelancong semakin ramai mengunjungi Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest yang terkenal di Cameron Highlands.

CAMERON HIGHLANDS, 29 November 2021 – Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan luar negara mencatat kehadiran seramai 6,761 pengunjung selepas aktiviti pelancongan di tanah tinggi itu kembali dibuka.


Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Regina Mariah Jong berkata, kini hampir setiap hari antara 50 hingga 300 pelancong berkunjung ke TER Mossy Forest yang dibuka bermula 8 pagi hingga 5 petang.


Katanya, jumlah pelancong bertambah dua hingga tiga kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum, kebanyakan pengunjung ke TER Mossy Forest secara berkumpulan menggunakan pengangkutan disediakan oleh syarikat pelancongan yang terdapat di sini.


Menurutnya, untuk memastikan keselamatan dan mengelak berlaku kesesakan sepanjang laluan berjalan kaki di TER Mossy Forest, pihaknya terpaksa menghadkan jumlah pengunjung dalam satu masa.


“Untuk memberi lebih keselesaan kepada pelancong JPNP berusaha menaik taraf beberapa kemudahan di kawasan pusat pelancongan di situ.

Pelancong di Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest melihat papan tanda sempadan kawasan hutan Pahang dan Perak.


“Peruntukan RM430,000 disediakan untuk menaik taraf kawasan parkir kenderaan, bangunan kaunter tiket baharu, wakaf, tempat penerangan, anjung tinjau (look out point) dan papan tanda,” katanya, di sini hari ini.


Regina Mariah berkata, dijangka selepas ini jumlah pelancong ke TER Mossy Forest terus bertambah, persediaan menerima pengunjung kini terus dilakukan.


Sementara itu Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, jalan baharu sepanjang lima kilometer untuk ke TER Mossy Forest memberi lebih keselesaan kepada pelancong.


“Pelancong yang ingin ke TER Mossy Forest dan mendaki Gunung Irau yang terdapat dalam kawasan hutan simpan perlu mendapat khidmat pemandu pelancong yang berdaftar,” katanya

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *