Semak & imbang dalam berpersatuan

 Semak & imbang dalam berpersatuan

MENYERTAI kesatuan perniagaan sama ada dalam bentuk dewan perniagaan atau persatuan, adalah satu kemestian kepada usahawan dan peniaga. Melalui kesatuan dan pertubuhan ini, nasib dan masa depan usahawan dapat disuarakan sekali gus polisi dapat dibentuk secara kolektif.

Namun, usahawan harus peka terhadap matlamat dan tujuan persatuan atau dewan tersebut. Ini kerana acap kali matlamat dan objektif persatuan tenggelam dalam arus zaman atau persatuan tersebut menjadi pentas bagi segelintir oportunis. Hasilnya, kita lihat persatuan-persatuan yang menjadi cop mohor kepada polisi kerajaan dan jarang sekali mewakili suara majoriti ahli.

Selalu juga saya dijemput menyertai perbincangan dan sesi dialog dengan pelbagai persatuan, tetapi perbincangan tersebut hanya menjurus kepada mempermudahkan urusan perniagaan segelintir pemegang jawatan.

Justeru, semak dan imbang dalam berpersatuan amat penting. Sebagaimana kita mengharapkan ahli politik mendeklarasi harta dan projek mereka atas dasar ketelusan, maka prinsip yang sama perlu kita tegakkan di dalam berpersatuan. Setiap ahli jawatankuasa seharusnya mengumumkan kepentingan mereka sebelum dan sepanjang memegang jawatan di dalm persatuan tersebut.

Deklarasi seperti yang dilaksanakan oleh ‘Malaysian Association of Professional Speakers – MAPS’ adalah sesuatu yang boleh dicontohi.

Selain itu, ahli jawatankuasa yang mempunyai kepentingan di dalam dialog atau sesi perbincangan dengan agensi atau pembuat polisi seharusnya mengecualikan diri sendiri. Sebaiknya, persatuan tersebut diwakili ahli yang mahir tetapi tidak ada kepentingan ke sesi perbincangan tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya ahli jawatankuasa itu mempunyai kepentingan dan projek dari agensi yang mengumumkan polisi baru, sukar baginya bersikap telus dan mewakili pendapat majoriti yang bertentangan dengan polisi tersebut.

Perkara ketiga, adalah matlamat dan visi individu pemegang jawatan. Kebiasaannya, yang bertanding dan memegang jawatan dalam persatuan adalah pemilik atau ketua pegawai eksekutif syarikat mereka sendiri. Sebagai ahli, kita harus memastikan bahawa mereka mempunyai perancangan, visi dan matlamat khusus bagi persatuan. Jangan diukur kebolehan memimpin dan ketelusan dari saiz syarikat atau pangkat pada pangkal nama.

Perkara seperti ini seharusnya menjadi standard atau piawaian bagi ketelusan persatuan. Bukan kita serahkan kepada pemegang jawatan berstatus Tan Sri/Datuk/Dato’ untuk membuat keputusan, tetapi kita sebagai ahli biasa berhak menuntut proses semak imbang ini.

Rintihan bahawa projek, penganugerahan dan maklumat tersangkut di peringkat atas sudah berdekad. Suara usahawan dan ahli persatuan yang asyik tidak dengari boleh diatasi. Sekiranya kita benar-benar inginkan perubahan, bermulalah dengan menekankan ketelusan dan semak imbang dalam persatuan yang kita anggotai.

MOHD PRASAD BIN HANIF

Kuala Lumpur

WACANA.MY mengambil inisiatif menyediakan ruangan HOTLINE WACANA ini bagi memberi peluang pembaca mengemukakan sebarang idea, cadangan dan permasalahan untuk dikongsi malah boleh dijadikan input untuk tindakan seterusnya. Sehubungan itu, Wacana.my mengalu-alukan tulisan pembaca untuk siaran dalam HOTLINE WACANA, akan datang. Sebarang bahan tulisan boleh dihantar kepada hotline@wacana.my – EDITOR

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  +    =  28