• Thursday, 17 June 2021, 2:24 pm

Selangor tidak setuju PKP penuh, tapi akur jika diarahkan- EXCO

 Selangor tidak setuju PKP penuh, tapi akur jika diarahkan- EXCO

Dr Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM, 19 Mei — “Kalau ada pilihan, kita tidak mahu ‘lockdown’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor. Tapi kalau diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Ordinan Darurat, maka kami akan patuh,” kata Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembanguan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Mengulas mengenai syor PKP penuh yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini, Dr Siti Mariah berkata bagaimanapun langkah itu akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Pihaknya berpendapat PKP penuh sahaja tidak dapat mengelak jangkitan COVID-19 sepenuhnya, jika punca perebakan itu tidak dikawal dengan baik terutamanya yang berpunca dari kawasan industri hingga menjangkiti komuniti.

“Kita tak mahu orang tidak boleh keluar bekerja. Jadi untuk membolehkan mereka keluar kerja apa langkah yang patut kita buat, misalnya kita tumpukan pada kawasan yang mempunyai banyak kluster,” katanya.

Selain itu, ujian saringan COVID-19 dan pemberian vaksin besar-besaran perlu dilakukan di Selangor, untuk memastikan PKP tersebut berkesan.

Setakat kelmarin seramai 3.3 peratus penduduk Selangor telah divaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Dalam pada itu, walaupun Kerajaan Persekutuan telah menjanjikan vaksin percuma untuk seluruh rakyat dan penduduk Malaysia, kerajaan Negeri Selangor telah menyatakan hasrat untuk membeli vaksin bagi kegunaan kumpulan yang diberi keutamaan.

“Kita telah maklumkan kepada kerajaan pusat bahawa Selangor akan memberi tumpuan kepada golongan pekerja, kerana negeri ini sangat bergantung kepada kilang dan industri dengan sumbangan hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia,” katanya.

Oleh itu, Selangor mengambil inisiatif untuk membeli vaksin, dan majikan juga sanggup untuk membeli vaksin ini bagi kegunaan pekerja mereka, kerana tidak mahu mengalami kerugian kerana penutupan kilang-kilang akibat kes COVID-19.

Dalam perkembangan lain Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri menerusi Selgate Corporation juga telah menempah 2.5 juta dos vaksin, salah satu daripada tiga pembekal vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca, yang dijangka tiba pada Jun ini.

“Kita sudah sampai peringkat akhir (perbincangan dan pembelian), (dijangka) dalam minggu hadapan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, akan umum tentang vaksin berkenaan,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 3,500 syarikat di negeri ini telah menyatakan minat untuk membeli vaksin diperoleh kerajaan negeri melalui program SElangkah VAX, program vaksinasinasi di bawah SElangkah dan akan memberi manfaat lebih 1 juta pekerja bagi sektor perindustrian.

“Bagi peniaga dan kilang kecil, perusahaan kecil dan sederhana (SME), kerajan akan memberi vaksin percuma kepada mereka,” katanya.

Mengulas berhubung program Saringan Komuniti SELangkah yang telah dijalankan di 10 buah Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 8 Mei lalu, Dr Siti Mariah berkata seramai 643 individu positif daripada lebih 11,000 yang hadir pada program tersebut.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *