Selangor sasar FDI lebih rendah tahun ini – MB Selangor

 Selangor sasar FDI lebih rendah tahun ini – MB Selangor

Datuk Seri Amirudin Shari

PETALING JAYA, 20 Jul — Ekoran impak pandemik COVID-19, Selangor meletakkan jumlah sasaran pelaburan langsung asing (FDI) lebih rendah iaitu antara RM12 bilion hingga RM13 bilion pada tahun ini berbanding pencapaian RM17 bilion ke RM18 bilion yang dicapai tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu mencatatkan nilai FDI kira-kira RM9 bilion pada April lalu dan ianya dilihat sebagai angka yang baik memandangkan situasi ekonomi lebih mencabar ketika ini berbanding tahun sebelumnya.

“Sasaran kita tak besar setakat RM12 bilion ke RM13 bilion kerana apa yang berlaku bila kes COVID-19 meningkat semula pada tahun ini operasi kita hanya bergerak dalam 20 ke 30 peratus tak banyak perkara yang kita boleh buat dan kembangkan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos ini, diharap dapat memulihkan landskap ekonomi negeri itu.

“Kita tidak mahu terlalu ‘ambitious’ (meletak sasaran tinggi) tetapi saya kira akhir Ogos atau awal September kita akan dapat sesuatu yang lebih baik untuk Selangor,” kata Amirudin.

Sementara itu, katanya, melalui pelaksanaan inisiatif Selangor Advance di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 300 syarikat melibatkan 50,000 pekerja setakat ini.

“Melalui Selangor Advance, 50,000 pekerja ini dapat menyambung pekerjaan mereka apabila dana yang diberikan membantu syarikat dalam meneruskan kitaran modal dan tunai mereka semasa tempoh krisis ini menyebabkan syarikat masih boleh lagi bertahan,” katanya. – BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *