Selami saranan penyatuan Melayu, konsep Islam memimpin – Hadi

 Selami saranan penyatuan Melayu, konsep Islam memimpin – Hadi

Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Oleh Mohd Kamal Ahmad

MENELUSURI mencari erti, roh dan matlamat tulisan ‘Minda Presiden PAS’ dalam e-buletin parti itu semalam, ada mesej penting hendak disampaikan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang kepada massa rakyat negara ini. Ia mengenai konsep Islam memimpin. Dengan tajuk ‘Tawaran Kerajaan Selamatkan Rakyat: Berintegriti dan Berkebajikan’, cetusan beliau ini menarik diteliti, direnung dan difahami aspirasinya.

Tafsir ayat dan maksud Surah al-Hajj: 40-41 dijadikan asas kepada saranan beliau dengan menyebut: “Inilah tawaran Islam untuk memimpin negara masyarakat majmuk melalui perjuangan menegakkan sebuah kerajaan yang adil kepada semua dan berwawasan luas serta jauh daripada dunia sehingga akhirat.”

Dalam tulisan ini, Abdul Hadi memberi kefahaman mengenai tawaran parti itu mahu menegakkan kerajaan yang berintegriti, adil kepada semua dan konsep berkebajikan menurut ajaran Islam. Tawaran ini serius. Perlu ada komitmen. Perlu ada keupayaan untuk melaksanakannya; dan perlu ada sokongan majoriti kepemimpinan Melayu yang akan menjadi asas kepada pelaksanaan konsep Islam memimpin ini.

Sebagaimana niat, komitmen serta matlamat BERSATU untuk penyatuan Melayu dan ummah di negara ini, tulisan Abdul Hadi juga memberi maksud sama. Kini jelas, BERSATU dan PAS terus meningkatkan usaha untuk penyatuan Melayu dan ummah khususnya menerusi kerjasama tiga penjuru BERSATU-PAS-UMNO dalam Perikatan Nasional (PN).

Harus diakui, Melayu adalah faktor utama dalam apa sahaja di negara ini. Ini ‘open secret’ yang semua orang tahu, akui dan perlu terima. Tanpa Melayu, semua tidak akan menjadi. Tetapi dari sisi satu lagi, tanpa penyatuan Melayu juga semua boleh terjadi. Jadi, tafsirlah sendiri maksud serta kesan kalau Melayu bersatu dan kalau Melayu berpecah.

Justeru, mentafsir aspirasi dan visi dari cetusan minda Abdul Hadi ini perlu memasukkan soal apa yang tersurat dan tersirat dalam tulisan ini? Mungkin antaranya, orang Melayu dan pemimpin parti Melayu diingatkan supaya bersatu bagi memastikan konsep Islam memimpin ini menjadi kenyataan. Inilah asas untuk menjayakan konsep Islam memimpin. Jika Melayu dan pemimpin mereka terus berpecah seperti sekarang, saranan Abdul Hadi akan ‘back fire’ dan seperti menepuk air di dulang. Sudahnya, ia menjadi bahan lelucon, sindiran dan diremehkan.

Abdul Hadi juga bijak mencuri perhatian atau memanfaatkan suasana untuk membuat kenyataan ini kepada ‘saudara kita di sebelah sana’ apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 akan berlangsung esok dan lusa. Pasti akan ada perwakilan yang memetik saranan BERSATU dan Abdul Hadi supaya Melayu bersatu untuk merealisasikan konsep Islam memimpin. Ketika rata-rata akar umbi UMNO juga mahu berlaku penyatuan di kalangan orang Melayu khususnya menerusi kerjasama parti Melayu, apa yang dilontarkan oleh Abdul Hadi sedikit sebanyak akan berlegar dalam sembang dan perbahasan di Dewan Merdeka PWTC untuk tempoh dua hari ini. Semoga suara penyatuan yang dilaungkan akar umbi menerusi perwakilan akan menusuk dan mengena pada hati nurani, jiwa dan roh pemimpin mereka.

Selain itu, Abdul Hadi menyentuh dengan jelas penyatuan masyarakat majmuk yang amat dituntut oleh Islam. Jaminan kepada penyatuan masyarakat majmuk, kata beliau, ada disebut dengan jelas dalam (Surah al-Hujurat: 13) dan (Surah al-Rum: 22).

Beliau berkata: “Situasi di Malaysia yang telah meletakkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, mewajibkan kita untuk menerima hakikat kewujudan masyarakat majmuk berbilang agama dan kaum yang telah berpijak di bumi dan tanah air kita bersama. Apa yang penting ialah mewujudkan satu gabungan yang konsisten untuk melaksanakan konsep perpaduan ummah.”

Kata beliau, perpaduan itu boleh diwujudkan bersama Islam dengan mengambil kira konsep yang menjadi titik persamaan berasaskan nilai kemanusiaan dan bertoleransi atau bertasamuh antara satu sama lain dalam meraikan perbezaan. Ini dengan syarat, tidak bersikap fanatik dan melampau yang boleh dicegah dengan melaksanakan konsep adil terhadap semua dan hak kemanusiaan sejagat serta bertimbang rasa dalam menjaga sensitiviti dalam perkara yang berbeza dan bertembung.

Menurut Abdul Hadi, kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO sebelum kedua-duanya bersetuju untuk memasukkan BERSATU, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam memimpin. Seterusnya ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih besar iaitu PN bersama parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.

“Gabungan PN bermatlamat melaksanakan agenda perpaduan ummah yang majmuk sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, berkonsepkan Islam memimpin tanpa menghapuskan kewujudan pelbagai agama dan bangsa. Ini berbeza dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menyanggah realiti masyarakat majmuk ciptaan Allah SWT,” katanya.

Abdul Hadi turut menyentuh soal integriti yang merupakan suatu amalan bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat. Integriti juga bukan omong kosong dan sekadar menjadi slogan.

Menyentuh mengenai negara berkebajikan yang ditawarkan kepada rakyat, Abdul Hadi menegaskan, ia berbeza dengan teori ‘welfare state’ acuan Barat yang sempit dan hanya sekadar menjaga kebajikan masyarakat sahaja.

Rumusannya, PAS kini perlu menggerakkan jentera bagi memberi kefahaman mengenai kepentingan dan jaminan perpaduan ummah, realiti untuk meraikan perbezaan dalam masyarakat majmuk, penyuburan integriti serta negara berkebajikan yang berlandaskan hak dan keadilan bagi merealisasikan konsep Islam memimpin.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1