Sektor pembuatan dibenarkan beroperasi di Johor

 Sektor pembuatan dibenarkan beroperasi di Johor

JOHOR BAHRU, 4 Sept  — Johor membenarkan sektor pembuatan beroperasi mengikut kadar vaksinasi lengkap pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, kebenaran itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor membenarkan mana-mana sektor industri melibatkan sektor pembuatan untuk beroperasi di seluruh negeri Johor sebagaimana ketetapan dan SOP yang dikeluarkan MKN.

“Untuk makluman, tidak timbul soal menunggu kebenaran beroperasi semula setelah mencapai kadar vaksinasi lengkap 50 peratus populasi dewasa di negeri ini memandangkan setakat 3 September 2021, 82 peratus penduduk di negeri Johor telah terima suntikan dos pertama dan 51.5 peratus telah menerima dos kedua mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ayub

Kapasiti pengoperasian yang dibenarkan ialah melibatkan kadar vaksinasi lengkap pekerja 40 peratus dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja.

Sementara itu, kadar vaksinasi lengkap pekerja 60 peratus, dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 80 peratus pekerja manakala kadar vaksinasi lengkap pekerja 80 peratus, diibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus pekerja, katanya.

Menurutnya, bagi ujian RTK Antigen juga perlu dilaksanakan ke atas pekerja pada setiap dua minggu dengan kos ditanggung pihak majikan.

Beliau berkata, diingatkan juga bahawa individu yang telah lengkap divaksin hanya mereka yang telah memenuhi kriteria.

Jelasnya, kriteria itu adalah bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mesti sudah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mesti telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

“Ingin ditegaskan kepada majikan dan pekerja sektor pembuatan ini agar sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum memulakan semula operasi agar keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *