Sejuta pokok bakal ditanam di Wilayah Persekutuan mulai tahun ini

 Sejuta pokok bakal ditanam di Wilayah Persekutuan mulai tahun ini

KUALA LUMPUR, 4 April — Sebanyak sejuta pokok akan ditanam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan secara berfasa bermula tahun ini sehingga 2025, di bawah Program Penghijauan Malaysia bertemakan Wilayah Hijau Wilayah Lestari.

Tan Sri Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, bawah program yang berkonsepkan pembangunan hutan bandar dan pembungaan bandar itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan untuk menanam 500,000 pokok.

Katanya Perbadanan Putrajaya pula berhasrat untuk menanam 400,000 pokok, manakala Perbadanan Labuan sebanyak 100,000 pokok.

“Dengan penanaman 1 juta pokok akan dapat menghasilkan 117 tan oksigen setahun, dan mengurangkan 22 tan karbon dioksida setahun

“Inisiaitif Penghijauan Malaysia ini dapat memastikan, pembangunan di Wilayah Persekutuan sentiasa mampan di samping mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara, bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar rendah karbon dan Bandar Hijau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Annuar berkata di peringkat awal ke arah usaha itu, DBKL akan memberi fokus untuk menanam pokok di tujuh tasik dan kolam di bahagian utara ibu kota, bagi menjadikan lokasi berkenaan sebagai pusat rekreasi riadah pasif dan aktif.

Katanya sebagai permulaan, sebanyak 100 pokok akan ditanam di kawasan Kolam Takungan Banjir Batu, manakala enam lagi lokasi yang telah dikenal pasti adalah Taman Tasik Metropolitan Kepong, Tasik Intan Baiduri, Kolam 99 dan Kolam Seri Murni, Kolam Nanyang, Kolam Taman Wahyu serta Taman Tasik Metropolitan Batu.

“Antara spesis pokok berkayu yang ditanam adalah Pokok Bunga Sakura Malaysia (Tekoma), Putat Laut, Bintangor Laut (Penaga Laut), Golden Shower Tree, Kelat Jambu Laut, Semarak Api.

“Turut ditanam, Casia Biflora, Tembusu Padang, Pokok Merawan Siput Jantan, Penaga Lilin, Pokok Bunga Tanjung, Pokok Kasai dan beberapa spesis lain bersesuaian dengan landskap kawasan yang dikenal pasti,” katanya.

Pada masa sama, Annuar berkata kementeriannya dan DBKL juga sedang mempertimbangkan untuk memanjangkan jajaran laluan berbasikal, melibatkan kawasan sekitar tujuh tasik berkenaan sehingga ke Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, yang menjadikan jarak keseluruhannya 62.5 kilometer bagi kegunaan orang ramai.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

44  −  34  =