SDP manfaatkan kemajuan robotik untuk cipta jentera penuaian buah tandan segar

 SDP manfaatkan kemajuan robotik untuk cipta jentera penuaian buah tandan segar

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 18 April — Sime Darby Plantation Bhd (SDP) telah memanfaatkan kemajuan robotik untuk memajukan jentera atau mesin yang dapat digunakan untuk menuai buah tandan segar (FFB) kelapa sawit, yang ia jangka siap untuk penggunaan dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan Dr K Harikrishna (kanan) berkata sekiranya misi ini berjaya, industri mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, terutama dalam kerja-kerja melibatkan penuaian.

“Menjelang tahun 2026, kami boleh kurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Mungkin ia akan mengambil masa sedikit. Bagaimanapun, kami akan cuba percepatkan,” kata beliau kepada Bernama.

Harikrishna berkata syarikat perladangan itu kini bekerjasama dengan pakar dari beberapa negara untuk menghasilkan prototaip praktikal dan memperincikannya dari segi pembuatan, kos dan harga.

Beliau turut mengakui kerumitan dalam mengembangkan alat penuaian yang sesuai untuk tanaman berikutan pelbagai jenis landskap yang ada.

Memandangkan kesukaran untuk memajukan jentera yang bersesuaian, beliau berkata kebanyakan pemilik ladang kelapa sawit berpendapat adalah jauh lebih mudah mengupah tenaga kerja untuk kerja penuaian kerana sekiranya dibayar dua kali ganda upah pekerja, ia masih lebih murah daripada mengembangkan jentera seumpama itu.

“Namun, adalah lebih penting bagi kita untuk memajukan jentera ini sekarang kerana industri kini berhadapan kekurangan tenaga kerja asing yang meruncing berikutan penularan COVID-19.

“Sebelum ini, kami memang mempunyai masalah tenaga kerja tetapi sekarang ini, ia kian teruk. Banyak kali kami tidak dapat menuai tanaman dan ia terbiar mereput,’’ jelas beliau.

Harikrishna berkata SDP turut meninjau kemungkinan menggunakan dron untuk kerja-kerja penyemburan racun dan membaja tanaman.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata syarikat turut menggunakan Genome Select, benih kelapa sawit dengan hasil tinggi untuk meningkatkan perolehan dan bercadang memperluaskan teknologi genom untuk tananam kurma dan kelapa.

“Ketiga-tiga tanaman ini sangat berkaitan dengan spesis sawit. Oleh itu, teknologi genom dapat digunakan untuk meningkatkan produktivit kedua tanaman ini,” katanya.

SDP memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap Genome Select pada tahun 2016 dan melakukan percubaan penanaman sebanyak 18,000 benih. Kumpulan ini menerima “ibu sawit” pertama pada tahun 2018.

Sejak tahun 2009, SDP telah melabur lebih RM150 juta untuk R&D dan telah menubuhkan salah satu makmal genotip terbesar di Asia Tenggara.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  56  =  57