Sayur kampung, ulam dan minuman herba rahsia wanita usia 110 tahun

 Sayur kampung, ulam dan minuman herba rahsia wanita usia 110 tahun

Tera bersama salah seorang piutnya di Kampung Belabar, Kuala Tahan.

JERANTUT, 5 Sept — Makan makanan kampung selain mengamalkan minuman herba menjadi amalan wanita warga emas berusia 110 tahun yang menjadi individu tertua di Kuala Tahan, di sini.

Tera Yusoh berkata, sayuran kampung, ulam segar dan ikan serta sedikit nasi menjadi hidangannya dan amalan itu diamakan sejak zaman mudanya lagi.

Katanya, makanan lain menjadi kegemaranya setiap hari ialah biskut disediakan bersama milo susu, setiap kali badan terasa kurang sihat dan tidak bermaya susu khas diminum dua hingga tiga kali sehari mengikut nasihat doktor.

“Saya panjang umur hingga ke hari ini merupakan suatu anugerah istimewa Yang Maha Esa, Dia yang memberi peluang kepada saya untuk hidup lebih lama berbanding orang lain.

“Saya sentiasa bersyukur dengan anugerah yang diterima, tanda syukur pada Yang Maha Esa saya lakukan semua kewajiban sambil melakukan suruhan lain,” katanya, di sini semalam.

Dia yang tinggal di Kampung Belabar, Kuala Tahan, di sini berkata, berkat umurnya yang panjang memberi peluang kepadanya melihat lebih 100 cucu, cicit dan piut hasil keturunanya bermula daripada enam cahaya matanya yang kini hanya ada lima orang selepas seorang meninggal.

Tera berkata, pada usia emas ini dia kini mengidap masalah pernafasan disebabkan paru-parunya yang rosak hingga memerlukan alat bantuan pernafasan yang disediakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) baru-baru ini.

“Saya reda dengan apa juga ujian daripada Yang Maha Esa, terlalu banyak anugerah telah diterima hingga tidak terkira. Umur yang panjang antara pemberian paling bermakna,” katanya.

Cucunya, Zamiza Mohd Zaid, 38, bersyukur diberi peluang melihat dan menjaga nenek atau wan, walaupun tidak tinggal bersama namun hampir setiap hari dia melawat warga emas itu.

Katanya, pada usia 110 tahun wan masih mampu menguruskan diri sendiri, dia boleh berjalan walaupun perlu dipimpin anaknya yang tinggal bersamanya di rumah pusaka.

“Wan seorang yang mementingkan kebersihan, dia menjaga pemakanan sejak usia muda dan sebelum ini dia banyak minum herba selain ulam yang dicari sendiri di hutan.

“Wan masih boleh bertutur dengan baik walaupun pendengaranya sedikit bermasalah, masa terluang setiap hari dihabiskan dengan berzikir yang menjadi amalan sejak sekian lama,” katanya.

Zamiza berkata, walaupun dimamah usia wan tetap ingat nama beberapa cucu dan piut walaupun tidak semua, dia suka bermain dengan cucu dan piut sambil berbual.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *