Saya tiada koloni, kroni – KPN

 Saya tiada koloni, kroni – KPN

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau tidak mempunyai koloni, kroni atau ‘orangnya sendiri’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tegas beliau, perbuatan seperti itu boleh membawa kehancuran dan hanya akan memecah-belahkan PDRM.

“Ini orang Ketua Polis Negara, ini orang Timbalan Ketua Polis Negara, ini orang Pengarah. Saya tidak mahu wujud perkara dan keadaan seperti itu dalam pasukan. Ia akan menghancurkan dan menyebabkan pasukan berpecah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalannya, Datuk Kaw Kok Chin.

Mengenai gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam polis yang mahu menjatuhkan beliau dan PDRM seperti didedahkan dalam satu wawancara semalam, beliau berkata, pihak yang terlibat turut meminta bantuan pihak luar untuk mencapai cita-cita mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan siapa pihak luar itu yang mempunyai rekod tidak baik sama ada anggota dalaman pasukan keselamatan itu, ahli perniagaan atau pemimpin politik untuk menyingkirkannya dan menguasai PDRM.

“Selagi saya Ketua Polis Negara, saya tidak akan benarkan PDRM digunakan mana-mana pihak sama ada di luar atau dalam untuk mengikut acuan dan kehendak mereka,” katanya.

Hamid berkata, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Pendedahan itu dibuat supaya keadaan tidak menjadi barah dalam PDRM dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai jijik, berbahaya dan perlu ditangani dengan pendedahan berani.

“Tidak sampai hendak saya membuat laporan polis berhubung isu ini. Saya mahu 130,000 warga polis tahu bahawa perbuatan itu tidak baik.

“Saya mahu menyedarkan mereka jangan buat macam ini, kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

89  −  83  =