“Saya sokong PN untuk selesaikan isu rakyat” – Steven Chong

 “Saya sokong PN untuk selesaikan isu rakyat” – Steven Chong

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 1 Mac : Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menegaskan, keputusan beliau untuk menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan isu rakyat.

Menurutnya, terdapat keperluan bagi beliau untuk mempunyai akses berjumpa dengan semua menteri serta ketua agensi kerajaan selain dapat membangkitkan isu-isu rakyat di kawasan Parlimen Tebrau.

“Saya berharap dengan pengalaman saya sebagai akauntan, juru audit luar dan dalaman, ejen cukai dan perunding perniagaan selama 40 tahun, saya boleh bekerjasama dengan semua menteri dan agensi kerajaan.

Steven Choong, Ahli Parlimen Tebrau

“Kerjasama ini bagi menangani pelbagai isu seperti banjir, pembuangan sampah haram, rumah pangsa kos rendah/murah, pelbagai perlesenan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta sebagainya,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook beliau.

Semalam, Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang juga daripada PKR menyatakan sokongan kepada kerajaan PN dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) menyokong  Muhyiddin dan kerajaan PN.

Penyerahan SD tersebut dimuat naik Muhyiddin dalam hantaran terbaharu dalam akaun Facebook rasmi beliau.

Keputusan Steven Choong itu mengejutkan ramai pihak terutamanya selepas sehari isu tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dilaporkan menyertai PKR.

Wakil rakyat tersebut ialah ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A. Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd. Said Jonid.

Selain itu, Steven Choong berharap dapat menjadi orang tengah antara kerajaan dan komuniti perniagaan supaya isu rakyat mendapat perhatian kerajaan.

“Saya sudi membantu kerajaan khususnya dalam bidang kepakaran saya. Sekiranya dipanggil, saya sudi bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari atau merancang atau merangka sistem percukaian supaya hasil kutipan cukai akan meningkat dan pada masa sama tidak membebankan komuniti perniagaan dan rakyat,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

43  −  34  =