Saya memang cerewet – Ziela Jalil

 Saya memang cerewet – Ziela Jalil

PETALING JAYA : Penerbit, Datuk Ziela Jalil kurang bersetuju dengan strategi untuk menggunakan isu viral sebagai ‘pelaris’ mempromosikan sebarang naskah. 

Ziela yang menerajui Pena Kreatif Sdn Bhd itu menjelaskan, drama-drama terbitan syarikatnya dikenali menerusi karakter dan bukan sekadar publisiti murahan semata-mata.

“Buat masa ini, Pena Kreatif belum dikenali kerana isu viral yang tidak sihat seperti isu antara pelakon dan sebagainya. Lebih baik produk itu dikenali kerana kualiti dan karakter dalam drama itu sendiri.

“Saya juga berharap stesen televisyen memberi ruang dan peluang kepada produksi yang sudah terbukti boleh membuat kerja. Bukan tidak mahukan persaingan, cuma ada kalanya tidak adil buat pihak kami,” katanya.

Ziela mengulas mengenai isu viral ketika menyertai sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) yang bersiaran Ahad malam.

Tidak menolak terus kehadiran pendatang baru mewarnai industri seni tempatan, Ziela mengakui dirinya senang bekerjasama dengan barisan pelakon yang sudah mempunyai pengalaman bagi memastikan kelancaran sepanjang penggambaran.

Ziela menegaskan dia sememangnya cerewet apabila membabitkan perihal kerja biarpun membabitkan adegan kecil saja.

“Saya sememangnya cerewet dan selesa bekerja dengan pengarah dan pelakon yang sudah biasa bekerja dengan saya. Sekiranya tidak berpuas hati, saya meminta pengarah untuk merakamkan semula adegan itu.

“Hendak ambil pelakon baru boleh, namun mereka perlu ada ilmu dan tidak menyusahkan seluruh produksi. Jika babak itu dirakamkan berkali-kali, mesti menganggu pelakon lain yang sudah bersedia untuk adegan itu,” kata Ziela.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1