Saya keluar negara sebelum PKP 2.0 diumumkan – Santhara

 Saya keluar negara sebelum PKP 2.0 diumumkan – Santhara

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara menjelaskan keberadaan beliau di luar negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dalam tempoh cuti yang telah diluluskan selain mematuhi mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya beliau telah memohon cuti selama 55 hari bekerja yang disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pada 10 Dis 2020 dan diluluskan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Dis 2020.

Permohonan cuti tersebut berdasarkan kelayakan Cuti Rehat seperti yang ditetapkan dalam peraturan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri selain kelayakan Cuti Tanpa Gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan Cuti Rehat, katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Dr Santhara

“Tujuan saya keluar negara ialah bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab, saya perlu bertemu dengan dengan anak yang berusia 9 tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa,” katanya yang turut memaklumkan perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan.

Santhara menegaskan bahawa beliau telah keluar negara sebelum PKP 2.0 diumumkan di Malaysia, iaitu setelah menghadiri semua sidang parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau juga menafikan tuduhan keluar dan masuk (ulang-alik) ke Malaysia seperti yang dinyatakan pihak tertentu menerusi media sosial yang turut dilaporkan sebuah portal berita.

Ahli Parlimen Segamat itu juga akan membuat laporan polis susulan tuduhan tersebut yang disifatkan menjejaskan reputasinya sebagai timbalan menteri dan ahli Parlimen.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9  +  1  =