Saya hargai kesetiaannya menunggu saya – Kieran akhiri zaman duda

 Saya hargai kesetiaannya menunggu saya – Kieran akhiri zaman duda

PETALING JAYA : Penyampai radio, Kieran, 46, mengakhiri zaman duda dengan wanita pilihannya, Nur Shafiyaziemah Shamudi, 33, dalam sebuah majlis ringkas yang dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat.

Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran berkata, itu adalah perkahwinan keduanya selepas bergelar duda selama 10 tahun sejak 2011.

“Alhamdulillah…setelah 10 tahun bergelar duda barulah saya mengambil keputusan untuk berkahwin buat kali kedua. Majlis yang diadakan kelmarin ringkas dan dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat saja. 

“Ketika berpisah dengan isteri pertama dulu dua anak masih kecil. Jadi, saya memang nak memberi fokus dan berkhidmat untuk mereka. 

“Menjadi rutin setiap Jumaat hingga Ahad, masa saya memang bersama mereka sehinggalah sekarang pun. Itu yang belum fikir nak berumah tangga sekali lagi,” kata Kieran.

Kieran yang juga bekas penyampai radio Hot FM berkata, dia sudah mengenali isterinya itu sejak beberapa tahun lalu.

“Saya dan isteri sudah saling mengenali sejak beberapa tahun lalu, dia juga sudah biasa dengan anak-anak. Boleh dikatakan dia selesa dan menerima status saya sebagai duda, begitu juga dengan dua orang anak saya. 

“Malah, saya juga menghargai kesetiaannya menunggu saya sehingga masa yang sesuai untuk berkahwin semula. Ini adalah perkahwinan pertama buatnya. 

“Paling penting kerana dia memahami saya dan anak-anak .Jadi, saya bersyukur apabila sepanjang perhubungan kami dan proses perkahwinan kami dipermudahkan Allah SWT.

“Harapan saya semoga perkahwinan ini kekal ke akhir hayat, bahagia dan dikurniakan cahaya mata. 

Saya pun sudah lama hidup bujang. Insya-Allah, susah senang ini kami akan lalui bersama. Selain berdoa semua semuanya dalam keadaan baik saja,” katanya.

Kieran pernah berkahwin dengan Yang Azliyang Mohd Yunos pada Jun 2008 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Adam, 12, dan Muhammad Iman, 11.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =