Saya aktifkan talian, hubungi ATM, IGP pada 18 Disember – PM

 Saya aktifkan talian, hubungi ATM, IGP pada 18 Disember – PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan 2022: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan kisah sebenar pada malam tragedi banjir 18 Disember 2021 yang melanda beberapa lokasi di negara.

Beliau menceritakan, sedar situasi banjir yang kritikal di Selangor, pada malam Sabtu 18 Disember 2021 itu, beliau telah bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan melalui penerangan oleh Ketua Pengarah NADMA.

“Di sana, saya telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan talian hotline bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir melalui NDCC.

“Saya sendiri telah menghubungi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD) dan Ketua Polis Negara (IGP) bagi menggerakkan anggota dan aset tambahan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari negeri berhampiran ke Negeri Selangor.

Shahidan melawat PPS sebelum ini

“Ini bagi membantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta lain-lain agensi yang sedang giat melaksanakan operasi menyelamat.

“Malah, sebahagian besar aset seperti bot penyelamat telah siap sedia ditempatkan di negeri-negeri lain khususnya Pantai Timur yang dijangkakan berisiko berdepan dengan banjir besar,” katanya.

Beliau berucap di Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen ke-14 berhubung bencana banjir hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan menzahirkan perasaan dukacita terhadap bencana alam yang telah melanda negara bermula penghujung tahun 2021 disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa.

Bencana banjir dan tanah runtuh telah berlaku di beberapa buah negeri iaitu negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan beberapa buah negeri lain.

Shahidan memberi turun memberi BWI kepada mangsa tanah runtuh sebelum ini.

Jelasnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengumumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) di Malaysia akan bermula dari 3 November 2021 hingga Mac 2022.

“Saya mengeluarkan arahan pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah pada 2 November 2021 kepada semua Pengerusi JPBN (Setiausaha Kerajaan Negeri) sejurus selepas pengumuman MET Malaysia pada 1 November tahun lalu bermula MTL dari 3 November 2021 hingga bulan Mac 2022,” tambahnya.

Imbas kembali situasi pada malam bencana itu, Ismail mengeluarkan arahan kepada Kementerian Wilayah Perseketuan (KWP) menerusi Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang mengambil tindakan segera turun padang menghulurkan bantuan di luar ibu kota bermula 19 Disember lalu.

Shahidan kemudiannya mengarahkan agensi di bawah KWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Wilayah Perseketuan (YWP) untuk turut serta misi pasca banjir yang bermula di Selangor,Jelebu, Karak, Temerloh, Melaka dan Segamat sebagai lokasi terakhir.

“Antara usaha membantu adalah kerja pembersihan kawasan-kawasan terjejas seperti bangunan dan tempat awam antaranya masjid, surau, sekolah, tadika, Pusat Komuniti, Dewan Orang Ramai, Klinik Kesihatan dan banyak lagi.

“Anggota dari DBKL, Perbadanan Putrajaya dan YWP turut turun padang membantu membersihkan kawasan yang terkesan. Mereka digalakkan untuk menjadi sukarelawan tanpa mengeluh atau sebarang imbuhan,” kata Shahidan.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  83  =  87