Saya akan bersara jika PRN diadakan – Mazlan

 Saya akan bersara jika PRN diadakan – Mazlan

ISKANDAR PUTERI, 20 Januari – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang sedia menimbang untuk bersara daripada dunia politik sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.

Beliau yang disebut-sebut sebelum ini akan memulakan langkah menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan untuk diadakan

PRN Johor bagaimanapun berkata, keputusan mengadakan PRN tertakluk kepada Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berjanji akan ‘menurut sahaja’ dan tidak membantah sekiranya PRN diadakan dalam masa terdekat.

Mazlan Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor.

“Kita ikut sahaja, PRN kuasa Menteri Besar dan Sultan Johor. Menteri Besar ada strategi dia, dia nak buat (PRN) bila itu hak dia dengan perkenan Tuanku. Kita sebagai Exco kerajaan negeri hanya menurut perintah, jika bubar kita bubar sahaja.

“Saya mungkin bersara agaknya, bersara daripada politik, duduk diam-diam, saya tiada ‘move’ (langkah politik) apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini yang disempurnakan oleh Hasni.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad serta Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Hasni dalam majlis tersebut memberi jaminan PRN Johor jika diadakan dalam masa terdekat tidak akan mengganggu pentadbiran dan semua perancangan kerajaan negeri terutamanya pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Johor 2022.

Kenyataan terbaharu Hasni itu mengukuhkan lagi khabar angin bahawa Johor bakal mengadakan PRN dalam waktu terdekat selepas kedudukan kerajaan negeri dilihat goyah kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu 28 berbanding 27 kerusi yang dimiliki pakatan pembangkang.

Keadaan itu terjadi ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor pada 21 Disember lalu.

Dalam pada itu, Mazlan sekali lagi menafikan andaian segelintir pihak yang mendakwa beliau bakal keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menjadi ADUN Bebas.

“Tiada cerita, pandai-pandai mereka buat cerita kata saya nak keluar, kalau berlaku PRN mungkin bersara, tengok nanti mcm mana,” katanya yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tebrau.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

87  +    =  91