• Sunday, 20 June 2021, 8:56 am

SASMEC @IIUM sedia program vaksinasi COVID-19

 SASMEC @IIUM sedia program vaksinasi COVID-19

KUANTAN, 6 Jun — Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini memasuki fasa kedua program vaksinasi COVID-19.

Fasa kedua berkenaan bermula pada 1 Jun lalu, ia kendalikan oleh Unit Pencegahan dan Kawalan Jangkitan bertempat di Pusat Penjagaan Harian Perubatan, SASMEC @IIUM, di sini.

Pegawai Perubatan Unit Pengurusan Klinikal SASMEC @IIUM, Dr Mohamad Fadhi Azmi berkata, fasa kedua vaksinasi lebih memfokuskan kepada golongan pesakit yang sedang menerima rawatan di SASMEC @IIUM.

Menurutnya, seramai 12,000 data pesakit telah dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang bagi tujuan saringan pesakit yang layak untuk menerima vaksin.

Katanya, seramai 1,600 pesakit telah disenarai pendek untuk menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech secara berkala bermula 1 Jun lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Julai depan.

“Saringan yang dilakukan termasuklah membabitkan golongan pesakit yang mempunyai penyakit kritikal seperti kanser, diabetes dan darah tinggi.

“Keutamaan diberikan kepada pesakit yang berisiko tinggi adalah kerana kadar kebolehan jangkitan pada mereka lebih tinggi selain untuk mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19,” katanya, di sini semalam.

Beliau menegaskan, proses pemilihan serta penyaringan pesakit dilakukan dengan teliti bagi memastikan golongan berkenaan mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh KKM.

Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) menyediakan vaksinasi COVID-19 di Pusat Penjagaan Harian Perubatan, SASMEC @IIUM.

Dr Mohamad Fadhi berkata, ini merupakan kali pertama kali pihaknya diberi tanggungjawab mengendalikan pemberian vaksinasi COVID-19 kepada pesakit, sebelum ini hanya membabitkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, sebagai salah sebuah pusat vaksinasi COVID-19 sudah tentu pihaknya bersedia untuk apa jua keadaan dalam memastikan kesejahteraan kakitangan dan orang awam terjamin.

Bagi Robiah Ali, dia tidak menyangka SASMEC @IIUM memberi vaksin kepada pesakit hospital yang terpilih, peluang berkenaan amat bererti apabila tidak perlu menunggu lama.

“Saya bersyukur kerana kemudahan berkenaan jarang berlaku dan kami sebagai pesakit yang terpilih bersetuju menerima suntikan dos vaksin dalam membantu kerajaan mengawal penyebaran wabak COVID-19,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *