SASMEC @IIUM diiktiraf hospital patuh syariah pertama di Malaysia

 SASMEC @IIUM diiktiraf hospital patuh syariah pertama di Malaysia

Prof Dato’ Dr Mohamed Saufi Awang (kanan) menerima sijil Malaysia Book of Records daripada Edwin Yeoh Tiong Chin disaksikan Dr Noraini Ahmad

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 24 April – Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjadi hospital universiti pertama patuh syariah di negara ini.

SASMEC @IIUM juga hospital pengajar universiti awam pertama menerima pengikitrafan MS 1900:2014 daripada SIRIM QAS International pada Disember, tahun lalu.

Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, turut membanggakan adalah pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah yang bebas daripada non-conformity report (NCR).

Katanya, kejayaan SASMEC @IIUM membuktikan hospital pengajar universiti mampu bersaing dengan hospital arus perdana walaupun beroperasi sebagai hospital rujukan.

“Pada usia lima tahun SASMEC @IIUM melakar sejarah yang membanggakan. Kejayaan itu menjadi landasan untuk menjadikan hospital yang lebih maju terutama dengan adanya pelbagai fasiliti terkini serta barisan tenaga pakar berpengalaman.

“Kami bermula dengan skala kecil dan kini kekuatan serta kualiti yang dimiliki mampu menjadikan hospital ini setanding dengan hospital awam dan swasta lain di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil Malaysia Book of Records (MBOR) yang disampaikan oleh wakil MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Pengarah Hospital, Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang yang disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Dewan Auditorium, SASMEC @IIUM, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Setiusaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Sementara itu, Dr Mohamed Saufi berkata, pihaknya berbangga dengan pengitirafan yang diterima, ia akan menjadi pembakar semangat kepada kakitangan disemua peringkat untuk memberi perkhidmatan terbaik.

Sempena majlis berkenaan Dr Noraini menyampaikan bantuan kewangan dan foodbank kepada 20 pelajar UIAM B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut melawat Pusat Susu Bonda Halimatussadia yang bakal berperanan sebagai pusat gantian kepada susu ibu sebenar khusus kepada bayi pramatang selain turut ke Pusat Vaksinasi Hospital.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  +    =  36