SASMEC @IIUM bina bilik terapi murid istimewa

 SASMEC @IIUM bina bilik terapi murid istimewa

Bilik terapi murid istimewa Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Shahbandar dilengkapi pelbagai kemudahan sumbangan SASMEC @IIUM.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 6 April – Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan peruntukan RM60,000 membina bilik terapi khas untuk murid istimewa di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Shahbandar, di sini.

Pengarah SASMEC @IIUM, Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata, pihaknya menyediakan bilik terapi atau Snoezelen untuk kemudahan 23 Murid Berkeperluan Khas (MBK) berumur tujuh hingga 14 tahun di sekolah berkenaan.

Menurutnya, bilik terapi dicipta khas untuk murid autisme selain kecacatan perkembangan otak dan dilengkapi pelbagai kemudahan terkini yang dapat membantu murid belajar serta menenangkan fikiran atau terapi mereka.

Katanya, kesan cahaya, bunyian dan juga aroma antara kaedah yang digunakan dalam bilik terapi yang mampu mengawal emosi selain
membantu mengurangkan keresahan, agitasi dan hiperaktif terutama kalangan murid syndrome down.

“Bilik terapi ini penting dalam mewujudkan suasana tenang yang membolehkan penghuninya lebih peka dengan persekitaran dan lebih penting dspat menghidupkan deria mereka yang sebelum ini lemah.

Antara bentuk kemudahan terapi yang disediakan.

“SK Indera Shahbandar adalah sekolah pertama di Pahang memiliki bilik terapi direka khas dengan pelbagai peralatan terkini yang dicadangkan oleh beberapa doktor pakar,” katanya Wacana.my.

Beliau berharap sumbangan bilik terapi dapat memberikan hasil yang positif pada murid dalam jangka masa panjang demi masa depan mereka.

Dr Mohamed Saufi berkata, kerjasama pakar kanak-kanak, pakar gigi kanak-kanak, pakar pemakanan, pakar dietik nutrisi, pakar bakteria dan pakar psikologi digabungkan untuk menyediakan bilik terapi SK Indera Shahbandar yang dianggap istimewa.

“Kita sedia bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan sekolah di negeri dalam menyalurkan maklumat serta kepakaran untuk menyediakan bilik terapi di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Indera Shahbandar, Mohammad Ismail merasa bertuah menerima kemudahan bilik terapi daripada yang disediakan SASMEC @IIUM khusus untuk murid istimewa.

Lampu sebagai terapi murid istimewa Sekolah (SK) Indera Shahbandar

“Saya mengucapkan terima kepada SASMEC @IIUM yang begitu prihatin terhadap nasib murid istimewa di SK Indera Shahbandar yang memerlukan sokongan dari segi pendidikan serta perkembangan otak mereka.

“Tujuh guru bertanggungjawab mendidik dan memulihkan 23 murid istimewa setiap hari,” katanya yang sentiasa memantau perkembangan murid istimewa.

Katanya, sebelum ini guru pendidikan khas turut diberi pendedahan cara menggunakan peralatan yang terdapat di bilik terapi oleh pihak SASMEC @IIUM dalam memastikan usaha memulihkan murid istimewa menjadi kenyataan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  4