Sarawak akan tunggu perkenan Agong untuk PRN

 Sarawak akan tunggu perkenan Agong untuk PRN

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 27 Jul — Sarawak akan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada akan meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau tidak, sebaik sahaja Proklamasi Darurat ditamatkan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata meskipun darurat berkemungkinan besar tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pelanjutan darurat, terdapat tiga perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Pertama ialah situasi COVID-19, sama ada situasi COVID-19 kita bertambah baik berdasarkan pada statistik. Kedua ialah sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi berkenaan dan apa jenis SOP.

“Ketiga, apa yang penting bagi kita ialah kesihatan. Kita tidak mahu ia (PRN) menjadi punca (penularan COVID-19 yang bertambah teruk) seperti yang telah terjadi di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Orang Ulu (OUCCI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian setelah ditanya sama ada PRN akan diadakan sejurus selepas Proklamasi Darurat ditamatkan.

Abang Johari berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang diketuai beliau sebagai kerajaan Sarawak sedia ada, turut memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk bergerak ke hadapan bagi terus memimpin negeri itu.

Beliau berkata kini bergantung pada agensi-agensi strategik seperti Kementerian Kesihatan dan SPR untuk menilai semua faktor tersebut.

“Jadi, tunggu sahaja apa yang akan berlaku dalam satu atau dua minggu ini. Jika darurat ditamatkan pada 1 Ogos, dalam masa 60 hari pilihan raya perlu diadakan tetapi kita mesti memastikan bahawa keadaan adalah kondusif. Dalam kata lain, ada perubahan yang baik dalam situasi COVID-19. Orang pun takut nak turun undi,” katanya.

Ditanya tentang status Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata di bawah darurat ia masih berfungsi seperti yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku antara sekarang hingga 1 Ogos kerana kuasa adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan darurat atau tidak,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *