Sarang dadah di Kg Pandan diserbu

 Sarang dadah di Kg Pandan diserbu

JOHOR BAHRU 21 Jan 2022 – Seorang lelaki berpura-pura pengsan manakala rakannya menyorok di belakang sebuah rumah bagi mengelakkan diri ditahan polis yang melakukan Ops Tapis di Kampung Pandan, pagi tadi. 

Dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 pagi itu, seramai 220 individu termasuk tiga lelaki warganegara asing ditahan di sarang penagihan dadah di kampung berkenaan. 

Kamarul Zaman Mamat (kanan) melihat sebahagian penagih dadah yang berjaya ditangkap dalam operasi di Kampung Pandan, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan  berusia antara 21 hingga 45 tahun.

Menurutnya, kampung tersebut merupakan salah satu daripada titik panas sarang penagihan dadah di negeri ini sejak dahulu.

“Operasi ini dijalankan bagi membersihkan kawasan penempatan ini daripada menjadi tempat penagih dan pengedar dadah ini berkumpul. Siasatan mendapati sarang penagihan dadah ini menjadi ‘port’ pengedaran dadah secara kecil-kecilan.

“Polis Johor akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari jalan penyelesaian bagi membanteras kegiatan dadah di kawasan ini,” katanya selepas menyertai Op Tapis, di sini.

Kamarul Zaman berkata, kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

 Op Tapis itu dijalankan di seluruh kontinjen Johor melibatkan 38 pegawai dan 292 anggota yang membuat serbuan di lokasi panas di seluruh negeri ini. 

Dipercayai terdapat 12 kawasan titik panas sarang penagihan dadah di negeri ini, manakala kegiatan itu juga dilihat berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – ENDS

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

53  +    =  55