Sara cari anak di Sabah, Aina tak sanggup jual anak

 Sara cari anak di Sabah, Aina tak sanggup jual anak

[Gambar ilustrasi]

Oleh Suraya Ali

MENGANDUNG pada usia muda menjadi satu cabaran kepada semua wanita apatah lagi jika kandungan berlaku menerusi hubungan luar nikah. 

Kepayahan mengandung selama sembilan bulan dianggap bagai satu hukuman di atas keterlanjuran sebelum ini. 

Keadaan menjadi lebih menyiksa dan memilukan apabila sebilangan besar mereka terpaksa mengharungi detik-detik sukar itu bersendirian tanpa sokongan ahli keluarga atau teman lelaki. 

Bercakap kepada Wacana.my, wanita cekal berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Sara berkata, impiannya untuk mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihan hancur kerana ibu bapanya melarang hubungan mereka. 

“Saya masih ingat, waktu itu saya baru berusia 21 tahun. Saya ketika itu memberitahu keluarga saya ingin bernikah dengan teman lelaki saya, namun dibantah oleh keluarga atas alasan yang sangat tidak munasabah,” katanya memulakan perbualan.

Menurut Sara, keluarga melarang hubungan itu kerana teman lelakinya bukan penjawat awam. 

Sara yang berasal dari Selangor kini menetap di Sabah setelah melarikan diri dari keluarga dan ingin tinggal berdekatan anak kandungnya. 

“Saya mengandung dan melahirkan anak di Semenanjung. Tetapi selepas melahirkan, bayi saya dirampas oleh ibu saya dan menyerahkannya kepada pasangan dari Sabah,” katanya. 

Lebih memilukan, beliau mendakwa ibunya telah menerima sejumlah bayaran dari keluarga angkat tersebut yang dikatakan sebagai pampasan kelahirannya. 

“Saya amat kecewa, kerana saya tahu saya mampu membesarkan anak saya sendiri walaupun saya dibuang keluarga. Saya juga telah dikurung oleh keluarga saya,” katanya. 

Proses pengangkatan yang berlaku secara paksa itu berlaku tanpa kehadiran Sara di mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mahkamah, sebaliknya beliau hanya diminta menandatangani dokumen dari rumah. 

“Saya telah menyimpan dokumen berkaitan dan setelah saya sihat beberapa bulan selepas itu, saya ke Sabah untuk mencari anak saya,” katanya. 

Setelah berjaya mengesan anaknya, Sara memohon untuk mengambil semula anaknya namun sekali lagi beliau hampa kerana undang-undang pengangkatan di Sabah berbeza dengan Semenanjung. 

“Hanya selepas dua bulan, mahkamah menyerahkan hak penjagaan anak saya kepada keluarga angkat tanpa kebenaran saya. Saya amat kecewa dan keluarga angkat juga tidak membenarkan saya melawat anak saya sendiri,” katanya. 

Kes Sara adalah antara ribuan kes pengangkatan yang tidak mematuhi undang-undang atau menggunakan kelemahan undang-undang untuk kepentingan pihak tidak bertanggungjawab. 

Wacana.my cuba memaparkan laporan mengenai pengangkatan secara haram ini dan mendapatkan komen  JKM. Pada masa sama, kes Sara dan banyak lagi kes sepertinya masih belum selesai. 

Aktivis dari NGO Anak Kami, Ku Noor Ammarah Ku Amir memberitahu, sebelum ini pihaknya pernah bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan menumpaskan sindiket penjualan bayi di Rawang, Selangor.

“Pelaku dalam kes di Rawang itu pernah diambil tindakan beberapa kali namun pendakwaan ke atasnya gagal atas beberapa faktor teknikal dan perundangan,” katanya.  

Namun pada 2018, kes itu berjaya dibawa ke mahkamah anti pemerdagangan orang dan ia merupakan antara kes terawal yang dibicarakan di sana. 

Sementara itu, seorang lagi wanita yang banya mahu dikenali sebagai Aina memberitahu Wacana.my, beliau pada awalnya usia kandungan telah membuat keputusan mahu menyerahkan bayinya kepada keluarga angkat. 

“Saya membuat keputusan itu berikutan kematian suami beberapa minggu selepas disahkan mengandung dan saya ada tiga anak kecil yang memerlukan perhatian,” katanya. 

Menurut Aina, ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di pinggir bandar, doktor yang merawatnya telah menawarkan sejumlah wang untuk membeli bayi tersebut. 

“Saya menggigil ketika itu. Benar, saya perlukan wang dan jika ikutkan hati saya terima, tetapi saya kenangkan agama doktor itu, saya tak sanggup anak saya dibesarkan dalam agama lain,” katanya. 

Aina membuat keputusan bersemuka dengan Pengasas Persatuan Kebajikan Anak Kami dan menceritakan masalahnya. 

“Alhamdullillah, NGO Anak Kami telah menjelaskan prosedur pengangkatan melalui proses perundangan yang sah dan saya masih diberi kebenaran berjumpa dan mengetahui perkembangan anak saya walaupun dia dijaga oleh keluarga angkat,” katanya. 

Menurut Aina proses mengandung dan melahirkan meninggalkan kesan emosi yang amat dalam kepada semua wanita yang melaluinya. 

Aina berharap wanita yang sedang mempertimbangkan menyerahkan anak mereka kepada keluarga angkat untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau saluran lain yang mematuhi undang-undang. 

“Benar, peraturan yang ada sukar untuk dipatuhi dan kadang-kadang kita rasa takut. Tapi kita harus fikirkan masa depan anak yang dikandung itu nanti, bagaimana persekolahan dia, kehidupannya, masa depannya, agamanya, semua kita sebagai ibu harus memikirkannya,” kata Aina. 

Menurut statistik Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat, setiap tiga hari ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai hidup atau mati. 

Sebanyak 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018. 

Rekod itu diperolehi  JKM menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia berdasarkan laporan diterima serta siasatan dilakukan sebelum ini. 

Rekod menunjukkan sebanyak 103 kes buang bayi atau janin berlaku pada 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018).

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  5  =  2