Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Sambutan Tahun Baru Cina tetap meriah dan bermakna

Pearl, suaminya Haresh dan anak, Shane Lee Deol
Oleh Irwan Abd Rahman
Setelah lebih setahun berlalu, dunia masih dirundung kegelapan wabak Covid-19. Kegiatan ekonomi mahupun kehidupan harian masih terikat dengan SOP yang ketat, bagi memutuskan rantaian penyakit ini.
Keadaan ini jelas memberi kesan kepada sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini — tiada paluan gendang ataupun tarian singa yang selalunya banyak boleh dinikmati di mana-mana, dan rata-rata masyarakat Tionghua menyambut ketibaan tahun lembu 2021 dengan ala kadar dan dengan adanya PKP, sambutan dibuat bersama hanya ahli keluarga yang terdekat.
Namun begitu, ini tidak bermaksud sambutan tahun ini tidak bermakna. Walaupun berjauhan, dengan bantuan teknologi, anak-anak tetap dapat bersama ibu ayah dan atuk nenek menerusi panggilan video. Kemeriahan dan kemesraan tetap dirasa walaupun juadah ‘reunion dinner’ dimasak sendiri dan dinikmati secara kecil-kecilan.
Bagi Pearl Lee, seorang editor laman sesawang di Kuala Lumpur, sambutan kali ini lebih sendu, seiring dangan tahun ini agak mencabar. Namun beliau dan suami, Haresh Deol, tetap memastikan keluarga mereka dapat menyambut bersama.

“Sambutan tahun ini agak kecil, dan hanya melibatkan keluarga terdekat,” kata ibu kepada seorang anak ini. “Tapi kami bahagia dapat menyambut hari bererti ini bersama insan-insan yang tersayang.”
Manakala bagi Shareen Sikayun, seorang pengurus di firma GLC terkemuka, perayaan kali ini masih ceria. Beliau bersama suami Glendon dan anak-anak, Ethan, Ava dan Aidan meneruskan tradisi mengambil gambar protret keluarga bagi titipan sanak saudara menerusi media sosial.
Wanita berasal dari Sabah ini turut mengambil peluang untuk mengucapkan selamat Tahun Baru kepada semua pembaca. “Kami sekeluarga berharap tahun ini, kita semua diberikan rezeki yang murah serta keceriaan dan kebahagiaan.”

Lim Wei Wen, seorang eksekutif perhubungan media di sebuah syarikat minyak dan gas di ibu negara pula berkata, beliau tetap bersyukur kerana masih boleh menyambut tahun baru bersama keluarga, walaupun terpaksa melupakan hasrat untuk balik kampung orang tuanya di Niyor, Kluang.
“Memang setiap tahun kami sekeluarga akan pulang ke kampung, dan makan malam ‘reunion’ selalunya akan dinikmati di rumah sanak saudara,” kata Wei Wen.
“Tahun ini amat berbeza, dan tugas menyediakan juadah menjadi tanggungjawab kami adik-beradik.
“Adik saya dengan beraninya menggalas tugas sebagai ‘ketua chef’ dan saya pula – yang tak berapa berbakat di dapur – menjadi pembantunya yang setia!
“Selain membantu dari segi penyiapan bahan, tanggungjawab saya memastikan chef tidak lapar atau dahaga sewaktu dia memasak,” tambahnya sambil ketawa.
“Juadah yang disediakan mungkin tak semewah tahun-tahun sebelumnya, tapi ia adalah sajian yang tetap istimewa, kerana ia hasil tangan kami sendiri.”
Jacqueline Wong, seorang pengurus di sebuah agensi kewangan dan saham di bandaraya, berkata perayaan tahun ini agak ‘senyap’ dari biasa. Beliau dan suaminya Rizal Solomon, tidak dapat pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang, namun dapat meraikan malam raya Cina bersama keluarga kakaknya yang tinggal berdekatan dengan hidangan makanan yang ringkas, diikuti dengan panggilan video dengan ibubapa serta saudara mara.

“Kami nikmati juadah makanan laut pada malam tahun baru, manakala keesokan harinya, kami berempat menjamah ‘steamboat’ pula,” kata beliau.
“Harapan kami hanyalah untuk wabak ini berakhir dengan segera, supaya kita semua cepat kembali kepada situasi normal dan dapat mengunjungi keluarga bagi mengeratkan tali persaudaraan,” tambah beliau.

Bagi pasangan selebriti Sheahnee Iman Lee dan suami, pelakon Nazrudin Habibur Rahman, Tahun Baru kali ini disambut dengan penuh rasa bersyukur, dengan adanya teknologi bagi membantu melepas rindu.
“Kami sentiasa mengingatkan diri bahawa walaupun keadaan susah sekarang dan tak dapat bersama secara fizikal, kami masih boleh bersama menerusi Google Meet dan Whatsapp,” kata hos dan pembaca berita itu.
“Disamping itu, kami tetap bersyukur, kerana dapat menyambut tahun baru dalam keadaan sihat dan ceria!”
Dan, bagaimana pula sambutan rakyat Malaysia yang jauh di perantauan?
Stephanie Tan, yang telah membina kehidupan bersama suaminya Leon dan anak mereka Lola yang berumur tiga tahun di The Hague, Netherlands, berkata walaupun sambutan Tahun Baru Cina adalah agak asing di situ, beliau tetap mencuba untuk membawa tradisi keluarganya ke rumah.

“Tahun ini adalah pertama kali kami betul-betul menghiasi rumah dengan barangan Tahun Baru,” kata Stephanie, yang telah setahun tidak pulang ke tanah air.
“Walaupun hanya lebih kurang, tetapi ia cukup untuk membuat saya rasa nostalgia. Saya amat rindu dengan keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan di kampung, dan saya juga ingin Lola belajar tentang budaya turun-temurun saya di Malaysia.
“Saya cuma berharap Tahun Lembu ini membawa tuah kepada kita semua, dan kita akhirnya akan dapat bebas dari belenggu wabak ini. Saya dah tak sabar nak balik kampung!”
Stephanie mengakhiri perbualan dengan ucapan buat semua yang mengenalinya di Malaysia: “Moga kita semua diberi kesihatan, kebahagiaan dan juga kekuatan untuk mengharungi segala cabaran yang kita hadapi sekarang.”