Sambutan Maulidur Rasul di Johor ditangguhkan

 Sambutan Maulidur Rasul di Johor ditangguhkan

Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri masih boleh diadakan secara dalam talian.

JOHOR BAHRU, 13 Okt — Semua penganjuran majlis sambutan Maulidur Rasul di masjid dan surau di negeri ini pada tahun ini ditangguhkan.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvhanti, hari ini.

Menurutnya, perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil langkah pencegahan dan pengawalan penularan COVID-19 dengan mengeluarkan arahan penangguhan bermula Selasa ini hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Walau bagaimanapun, katanya, majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dan daerah boleh dilaksanakan dan disiarkan secara dalam talian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan pihak berkuasa.

“Majlis sambutan Maulidur Rasul di negeri ini ketika dalam tempoh Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih boleh diteruskan secara maya pada Isnin depan.

“Program itu boleh diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bagi peringkat negeri dan di masjid kerajaan daerah dengan jemputan dihadkan kepada 50 tetamu dengan tajuk ‘Pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Mendepani Cabaran Semasa’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tosrin memberitahu, ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah mematuhi arahan penangguhan ini dengan mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di beberapa mukim dalam negeri ini.

“Keputusan itu dibuat setelah mendapat pandangan dan pertimbangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Marilah kita terus istiqamah dan bermunajat kepada Allah SWT dalam menangani pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *