Sambutan Aidilfitri dalam suasana PKP

 Sambutan Aidilfitri dalam suasana PKP

Oleh YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

 

AIDILFITRI menandakan hari kemenangan buat umat Islam di seluruh dunia setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Ia akan menjadi lebih meriah jika disambut dengan adab-adab yang telah digariskan syarak. Sudah tentu bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malah perayaan tersebut akan diberkati oleh Allah SWT.

Umat Islam dituntut untuk merayakannya mengikut sunnah Rasulullah SAW dan bersederhana. Berhari rayalah dengan penuh pengharapan moga-moga ibadah yang telah dilaksanakan diterima Allah SWT. Islam telah menganjurkan beberapa cara sempena menyambut ketibaan Aidilfitri:

  • Melaungkan takbir bertujuan mengingati Allah SWT.
  • Mengerjakan solat sunat Aidilfitri dua rakaat iaitu syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri.
  • Digalakkan saling mendoakan antara satu sama lain, sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
  • Memakai pakaian yang indah dan terbaik. Memakai pakaian yang cantik dan kemas akan memperelokkan personaliti diri dan sebagai tanda mensyukuri rezeki dan nikmat Allah SWT.
  • Mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Puasa sunat selama enam hari pada bulan Syawal diibaratkan seperti puasa sepanjang tahun.
  • Saling berkunjung. Kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi adalah amalan yang baik bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.
  • Menziarahi kubur, walaupun tiada dalil yang menyatakan sunat menziarahi kubur sebaik sahaja solat sunat hari raya Aidilfitri.

Dalam keadaan COVID-19 melanda, sambutan Aidilfitri mungkin berbeza daripada amalan tradisi kita. Umat Islam menyambut Aidilfitri pada hari pertama Syawal. Sambutan itu biasanya membabitkan makan dan menunaikan solat sunat Aidilfitri tetapi pada masa sama perlu mematuhi saranan kerajaan dan patuh PKP.

Norma baharu dengan mengerjakan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga secara berjemaah di rumah. Ketua keluarga memainkan peranan tambahan, iaitu memberi nasihat ketika berkhutbah dan mengetuai laungan takbir raya bersama ahli keluarga sebagai melengkapkan rukun sah solat sunat Aidilfitri.

Amalan kunjung mengunjung juga perlu mengikut SOP. Orang ramai harus menghadkan kunjungan antara satu sama lain ketika hari raya dengan mengadakan penjarakan sosial, tidak berkumpul secara beramai-ramai seperti yang disarankan ketika PKP. Jadikankanlah sambutan Aidilfitri sebagai hari yang bermanfaat dengan diiringi amalan-amalan kebaikan.

Bagaimana hubungan silaturahim tetap boleh diperkukuhkan melalui platform media sosial?

Pertemuan dan kebersamaan juga merupakan elemen penting setiap kali menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun, mungkin ini adalah masa untuk sama-sama kita memahami bahawa jarak bukan penghalang untuk kita tidak menyambut hari raya bersama. Situasi seperti berpakaian lengkap baju raya pada hari pertama dan bersedia dengan panggilan video bersama ahli keluarga antara norma baharu buat mereka yang tidak dapat bertemu dan berkumpul bersama ahli keluarga. Pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, aplikasi Google Meet, panggilan video, panggilan telefon dan sebagainya boleh digunakan bagi mengeratkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan, bertanya khabar, mengambil peluang bermaafan dan beramah mesra ketika berhari raya.

Seterusnya dapat mengekalkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim. Dengan adanya kemajuan teknologi, terlerailah sedikit kerinduan untuk melihat wajah ibu dan ayah, adik beradik dan sanak saudara. Terubatlah sedikit perasaan sedih dan kecewa kerana tidak dapat pulang beraya bersama keluarga.

Setelah berbulan lamanya petugas barisan hadapan berkorban berjuang membantu melawan COVID-19, tibalah masanya rakyat Malaysia yang lain turut berkorban sementara pada hari raya ini. Patuhi arahan dan garis panduan yang ditetapkan sewaktu sambutan hari raya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

91  −  83  =