Sambutan Aidiladha suram dalam PKPD bersasar di Kuantan

 Sambutan Aidiladha suram dalam PKPD bersasar di Kuantan

Penduduk Taman Seri Inderapura menerima juadah raya yang diberikan melalui kawat berduri berikutan taman berkenaan kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

KUANTAN, 20 Jul — Sambutan Aidiladha kali ini dilalui dalam penuh suram buat penduduk di 13 lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Lokaliti Berisiko Daerah Kuantan.

Pergerakan penduduk terbatas apabila mereka tidak dibenarkan keluar daripada kampung dan taman tanpa sebab yang dibenarkan pihak berkuasa.

Bagi Amir Saidon Md Yunus, 58, ini kali kedua Taman Seri Inderapura diletakkan dalam PKPD. Kali pertama tahun lalu apabila terdapat beberapa penduduk dijangkiti wabak COVID-19 hingga menyebabkan kematian.

Menurutnya, kes sama berlaku kali ini apabila PKPD selama dua minggu bermula Ahad lalu ditetapkan pihak berkuasa. Kebetulan perayaan Aidiladha yang disambut hari ini jatuh dalam tempoh tersebut.

“Ibadah korban yang sepatutnya diadakan hari ini terpaksa dibatalkan jawatankuasa Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI) yang bimbang berlaku perkara tidak diingini dikalangan penduduk setempat.

“Sambutan Aidiladha kali ini suram apabila semua laluan ditutup bagi memastikan tidak ada aktiviti keluar dan masuk ke Taman Seri Inderapura,” katanya.

Dia yang lebih 22 tahun menetap di Taman Seri Inderapura reda dengan apa yang berlaku dan berharap semua penduduk dapat mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan penularan wabak COVID-19 tidak terus berlaku.

Penduduk Taman Seri Inderapura, Nor Suzila Zahari (kanan) menerima juadah raya yang diberikan iparnya, Norfarah Shahida Mat Nor melalui kawat berduri berikutan taman berkenaan kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Amir Saidon berkata, selepas hampir dua tahun negara diancam COVID-19 pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam memastikan wabak berkenaan tidak terus menular dan mengancam nyawa rakyat.

Penduduk Taman Indera Sempurna, Mokhtar Sharif, 54, berkata, Aidiladha kali ini disambut dalam suasana sederhana bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.

“Hanya duduk di rumah sahaja tidak dibenarkan keluar, semua aktiviti membabitkan penyertaan ramai orang tidak dibenarkan diadakan. Pihak berkuasa sentiasa memantau dalam kawasan taman.

“Solat sunat Aidiladha diadakan di rumah, hari raya korban kali ini disambut dalam suasana kurang ceria apabila penduduk tidak boleh keluar apabila semua jalan ditutup,” katanya yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Sementara itu tinjauan di Taman Seri Inderapura mendapati terdapat individu bertemu saudara dan kenalan sambil menyerahkan juadah raya menggunakan kawasan hadangan dan kawat berduri di laluan ke Taman Bunut Rendang yang ditutup sepenuhnya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

19  −  15  =