Saman tertunggak di Johor lebih RM3 bilion

 Saman tertunggak di Johor lebih RM3 bilion

Ayob Khan meninjau kaunter pembayaran saman trafik di Balai Polis Trafik Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis Johor merekodkan sebanyak 10,073,023 keping saman yang masih tertunggak berjumlah sebanyak RM3.021 bilion atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak tahun 2000 hingga kini. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, daripada jumlah itu, RM58.07 juta adalah saman tertunggak melibatkan warga Singapura.

Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 193,583 saman yang dikeluarkan pihaknya terhadap pemandu republik berkenaan.

“Sejak tahun 2000 hingga kini, jumlah saman tertunggak bagi Kontinjen Johor adalah sebanyak 10,073,023 keping saman melibatkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan direkodkan termasuk memandu laju, menghalang lalu lintas, melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan mengguna telefon bimbit,” katanya  di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan kira-kira 30 minit melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor.

Khairul Azhar memberitahu, sejak 1 Disember hingga semalam, pihaknya telah mengutip pembayaran saman berjumlah RM4.8 juta dengan RM1.6 juta dikutip semalam iaitu sejak diskaun 80 peratus bermula.

“Daerah yang paling banyak mencatat kutipan saman membabitkan Johor Bahru Selatan dengan kutipan RM730,960 diikuti Batu Pahat (RM539,380) dan Muar (RM469,500).

“Bagi memudahkan urusan pembayaran saman, orang ramai boleh mengunjungi 14 cawangan trafik di mana-mana Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) negeri Johor untuk urusan berkenaan.

“Saya berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka pada harga diskaun 80 peratus, iaitu hingga Ahad ini,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =