Salamin mohon biaya beli gas, mesin pernafasan

 Salamin mohon biaya beli gas, mesin pernafasan

Rosidah membantu suaminya, Salamin yang menghidap kanser paru-paru

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG 22 Feb: Pesakit kanser tahap empat, Salamin Yusoff, 53, kini tidak mampu lagi  membelanjakan kira-kira RM1,500 sebulan untuk membeli gas sebagai bantuan pernafasan setiap hari.

Beliau dikesan menghidap kanser pada 2018 dan sejak itu memerlukan bantuan gas pernafasan sepanjang masa. Ketika ini, beliau perlu menyewa balang gas berharga RM150 setiap tong yang hanya boleh digunakan antara tiga hingga empat hari.

Bagi menampung kos perbelanjaan itu, Salamin bergantung harap dengan hasil jualan kuih isteri, Rosidah Ahmad, 49, selain bantuan daripada anak-anak serta adik-beradik.

“Namun sampai bila mereka akan membantu seperti ini kerana mereka juga mempunyai komitmen masing-masing,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Negeri Johor, Kamal Ariffin Abdul Rahman di kediamannya di Kampung SC, di sini hari ini.

Beliau menyerahkan sumbangan bekalan makanan selain tilam angin untuk kegunaan Salamin dan keluarganya dalam kunjungan tersebut.

Salamin berkata, pendapatan isterinya tidak seberapa apatah lagi dua daripada tujuh anaknya masih belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di Batu 4, di sini.

Dia pernah membuat permohonan bantuan kepada pihak Baitulmal setahun lalu, namun hingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas.

“Saya memang tak boleh buat kerja, hanya mampu duduk atau berbaring di atas katil, malah untuk pergi ke bilik air pun perlu dipapah isteri,” katanya.

Dia memerlukan biaya untuk membeli mesin bantuan pernafasan, sekali gus tidak perlu lagi bergantung dengan balang gas. Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank miliknya 151454032699 atau menghubungi: 019-7332445.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  2  =