Salam Syawal, Malaysia!

 Salam Syawal, Malaysia!

Mohd Afiq Mohd Noor (berdiri) dan keluarga beraya di hadapan rumahnya bersama jiran-jiran yang turut berada di hadapan rumah masing-masing mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang aktiviti ziarah semasa Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika tinjauan di Perumahan Awam Seri Pulau Pinang baru-baru ini

Oleh Awang Hitam

 

Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri, rakyat Malaysia. Tahun ini merupakan tahun kedua kita di tanah bertuah ini menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan dalam kesederhanaan. Kegembiraan yang terbit bersama sabdaan Nabi junjungan besar kita tentang Ramadan dan gandaan pahala ibadah di dalamnya. Gembira kerana kita selesai menjalani satu tempoh ujian. Untuk kali kedua, sambutan tahun ini perlu beraya dengan cara berbeza dan lebih berbeza dari tahun sebelumnya.

Benar, kita bersedih dan kita berduka. Namun jangan sesekali kedukaan itu memendungkan saranan agama agar mengimarahkan Syawal. Bahkan kita diperintahkan dan dianjurkan untuk mengamalkan sunnah-sunnah Hari Raya seperti menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita dan keluarga seperti memakai pakaian yang baik dan elok, atau mungkin baru jika perlu. Begitu juga dengan takbir raya, tahmid dan mengeratkan silaturrahim. Memprerat hubungan silaturrahim sama ada dengan keluarga, jiran tetangga, rakan, kenalan kita malah kenalan keluarga adalah amalan orang-orang yang beriman kepada Allah serta takut dengan hakikat hari Kiamat. Rasulullah bersabda :

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamu. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah dia mempereratkan silaturrahim.” (Hadith Riwayat Abu Hurairah)

Sebenarnya merapatkan silaturrahim bukanlah hanya diterjemah dengan ziarah menziarahi secara hadir atau fizikal. Tetapi boleh juga dilakukan dengan apa-apa cara sekali pun sesuai dengan keadaan tempat, masa dan kapasiti. Bersilaturrahim dengan jiran sebelah boleh dibuat dengan bertegur sapa atau bersembang di pagar tanpa perlu keluar dari kawasan rumah. Demikian jugalah bersilaturrahim dengan keluarga dan kenalan yang berjauhan boleh memanfaatkan pelbagai kemajuan teknologi seumpama Google Meet, Zoom, Whatsapp Group serta puluhan lagi platform lain. Janganlah kita mengeluh semasa berdepan dengan kesukaran ini kerana mengimarahkan Syawal adalah perintah agama yang perlu kita muliakan. Selain itu kita sama-sama patuhi perintah kerajaan bagi kita sama-sama dapat memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 yang kian meningkat saban hari.

 

Maqasid Shariah dalam usaha mengekang penularan Covid-19

Kita sentiasa mendengar leteran demi leteran oleh Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan lewat sidang media harian beliau. Setiap hari tanpa gagal, beliau ingatkan seluruh rakyat -dengan nada letih dan riak wajah kepenatan bekerja- agar terus patuhi dan tingkatkan upaya pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kita berasa simpati malah empati dengan beliau yang mewakili seluruh warga barisan hadapan yang bertugas memerangi wabak ini di tanah air kita. Apalah gunanya simpati dan empati itu kita biarkan tersimpan tanpa diterjemah dengan perbuatan kita. Kita boleh mulakan diri sendiri hari ini dan kita nasihati orang disekeliling agar mematuhinya. Kata Hasan al-Banna :

“Perbaiki dirimu kemudian ajaklah orang lain.”

Mematuhi perintah sekecil-kecil undang-undang kecil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti tidak meletak kenderaan di tempat sepatutnya sehinggalah kepada tidak melanggar lampu isyarat adalah manifestasi kepada pematuhan perintah kerajaan atau pemerintah negara. Firman Allah Ta’ala :

“Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul (Nabi Muhammad) dan pemerintah di kalangan kamu.” (Surah an-Nisa’ :59)

Sudah pasti perintah dan peraturan ulil amri -yang itu tidak maksum maka- tidaklah mutlak untuk ditaati, oleh kerana itulah menurut Imam Ibn Kathir tiada lafaz perintah “taatlah”. Namun tidaklah pula peranan ulul amri itu dipinggirkan terus. Maka Allah mengiktiraf kedudukan pemerintah atau pemimpin dari kalangan orang beriman itu dengan meletakkannya di kedudukan istimewa iaitu selepas ketaatan mutlak kepada Rasul-Nya.

Apabila kerajaan mengumumkan baru-baru ini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) sehingga 7 Jun 2021, rakyat meyakini bahawa kerajaan merujuk kepada nasihat pakar-pakar dalam bidang tertentu dan sudah tentulah bukannya keputusan silo YAB Perdana Menteri yang kita hormati. Semua kita mengetahui ia keputusan berat yang dibuat secara kolektif dengan koordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengerahkan seluruh kudrat agensi berkepentingan, termasuk penglibatan tetap Pangliman Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah JAKIM dan puluhan lagi yang lain Bersama Jemaah Menteri terlibat. Semuanya mengerah kudrat dan memerah keringat demi Malaysia. Demi kita semua.

Kita berhadapan detik sukar dan sedang bergelut dengan kesukaran. Detik sukar ini adalah cabaran bukan sahaja buat kita malah juga keluarga kita di kampung, jiran tetangga, ahli komuniti sekitar kita, barisan hadapan serta seluruh negara. Juga dunia sebenarnya. Singapura pun telah mengumumkan Perintah Total Lockdown mereka semalam. Malah Jakarta juga dilaporkan sedang bersiap sedia.

Kesukaran kita berhadapan dengan PKP kali ketiga ini haruslah dibaca sekalikan dengan teks-teks berkaitan Maqasid Shariah dengan prinsipnya yang lima (5) : Memelihara agama, jiwa atau nyawa, akal, keturunan dan harta agar mendapat panduan rabbani dan bukan sentimen semasa atau emosi. Dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara majmuk serta Islam sebagai tunjang utamanya; Islam dan kaum Muslimin harus dilihat sebagai solusi, teladan dan jurucakap rakyat yang merintis jalan solusi.

Sungguh, agama dan nyawa itu amat mustahak dalam membina ketamadunan dan kemajuan bangsa. Maka oleh kerana itu Imam al-Ghazali meletakkannya di awal prinsip yang lima. Mana jiwa yang boleh berdiri teguh tanpa tatanan rohani dan panduan agama. Mana agama yang boleh berkembang membawa risalah kesejahteraan tanpa adanya jiwa-jiwa pembangun yang mampu bekerja dengan baik.

Sungguh pun begitu, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah (mantan Mufti Mesir dan kini Senator) menulis dalam Ru’yah Fiqhiyyah Hadhariyah li Tartib al-Maqasid al-Shar’iyyah (Sorotan Sains Ketamadunan dalam Maqasid Shariah) mengatakan bahawa susunan Maqasid Shariah itu harus bermula dengan memelihara dan memajukan jiwa, agama, akal, keturunan dan harta dengan lontaran hujah : Bagaimana mungkin agama diletakkan dahulu dan mampu tertegak syariatnya jika tiada jiwa-jiwa yang menegakkannya? Justeru pemeliharaan jiwa yang juga dimaknakan dengan pembangunan kapasiti serta potensi perlu diletakkan prioriti dengan iltizam pembangunannya harus langsung membawa kepada pembangunan agama (individu Islam, masyarakat dan institusi Islam). Kesimpulan yang kita fahami di sini adalah, betapa pentingnya langkah pematuhan perintah dan SOP PKP kita kali ini demi agama kita, negara kita, masyarakat dan semestinya buat keluarga kita. Ianya berat. Namun kita lakukan ini bersama-sama demi masa depan Malaysia.

Kita renungkan pepatah mitos Asgard berkata : “Asgard is not a place, it is its people.”

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  +    =  24