Sakit dari pelbagai perspektif Islam

 Sakit dari pelbagai perspektif Islam

Oleh Ustaz Abdul Majid Hasan

SAKIT adalah sesuatu yang dirasai oleh semua manusia. Terdapat pelbagai perspektif mengapa seseorang itu berasa sakit? Punca sakit itu boleh datang daripada pemakanan, persekitaran, perwatakan dan ketentuan Allah SWT.

Selain itu, sebagai orang Islam, kita juga tidak boleh menafikan bahawa datangnya sakit itu mungkin daripada gangguan makhluk halus atau jin. Dari perspektif lain, sakit itu adalah petanda Allah SWT sayang kepada hambaNya kerana sakit itu adalah penghapus dosa.

Namun, ternyata sakit boleh dilihat dari perspektif yang positif jika kita berfikiran positif dan sebaliknya. Kerana hanya Allah SWT sahaja yang tahu kenapa kita sakit.

Menerusi pengalaman saya dalam perubatan Islam, 90 peratus daripada penyakit adalah berpunca daripada gangguan makhluk halus. Oleh itu, umat Islam mestilah merawat dirinya secara Islam sebelum mendapatkan rawatan yang lain.

Di Akrine, saya mengamalkan konsep empat perkara dalam rawatan Islam iaitu niat, doa, teknik dan rukyah. Doa-doa yang berkaitan dengan rawatan terhadap gangguan jin lebih terkesan kerana natijah dapat dirasai dengan segera. Kerana itu, apabila digabungkan antara niat, doa, rukyah dan teknik maka ia membentuk suatu rawatan.

Apabila seseorang merukyah pesakit, dia mesti meletakkan niat, doa dan teknik yang betul kerana semuanya dianggap sia-sia jika niat itu tiada di dalam hati. Selain itu, seseorang itu boleh melakukan teknik merawati diri sendiri dengan perbanyakkan berzikir, membaca al-Quran dan meminum air rawatan.

Walau bagaimanapun, rawatan gangguan jin adalah di luar kemampuan manusia kecuali dengan pertolongan dan izin Allah SWT. Semua perlakuan kita berdepan dengan makhluk ghaib adalah di luar kemampuan kita kecuali dengan pertolongan Allah SWT. Kita sebagai makhlukNya tidak akan berjaya tanpa bantuanNya.

Di pihak tukang sihir pun sama. Segala kelakuan dan tindakan mereka tidak akan terjadi kecuali dengan keizinanNnya. Namun di sini ada perbezaan di antara seorang perawat dan tukang sihir. Perawat memohon pertolongan terus kepada Allah SWT manakala tukang sihir adalah sebaliknya iaitu dengan meminta tolong kepada jin sihir atau benda-benda lain.

Apabila anda mahu melakukan teknik ini niatnya mestilah jelas seperti:  “Saya mahu merawat pesakit tanpa perlu menyentuhnya dengan izinMu ya Allah.”

Teknik Rawatan Tanpa Sentuh Pesakit (RENTAP)

  1. Kurung pesakit 4 penjuru dengan Bismillah Masyaallah serta tiup.
  2. . Kurung pesakit dan penyihir pada lokasi yang anda mahu seperti tapak tangan, sekeping kertas atau di atas lantai dengan membaca Bismillah Masyaallah 4 penjuru dan di tengah-tengah.
  3. Lakukan teknik-teknik rawatan seperti bakar, racun, pancung, tikam, pukul dan sebagainya pada tapak atau lokasi yang telah anda sediakan.

Penulis ialah Pengasas Rawatan Islam Akrine, Kuang, Selangor.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

75  +    =  77