Sajat buat hal lagi, beri bayangan nak keluar agama Islam?

 Sajat buat hal lagi, beri bayangan nak keluar agama Islam?

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 2 Mac : Diburu pihak berkuasa bukan penghalang bagi usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, apabila beliau memuat naik video kontroversi di media sosial.

Video berdurasi 1 minit 48 saat yang dimuatnaik Sajat itu memaparkan pengakuan beliau yang seolah-olah ingin keluar daripada agama Islam.

Disebabkan isunya yang berat dan kontroversi, berikut adalah salinan penuh apa yang diluahkan Sajat melalui video kontroversi berkenaan.

“Lepas JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) keluarkan statement (kenyataan) itu, saya dah malas nak fikir.

“Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Secara sumpah demi nama saya, nama mak ayah saya, saya dah taknak menjadi orang Islam (sambil menggelengkan kepalanya dalam klip video itu).

“Saya keluar daripada agama Islam. Itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul.

“Mereka yang buat saya jadi saya nak keluar daripada Islam. Saya tak main-main, saya cakap betul.

“Mereka yang buat saya nak keluar daripada Islam. Mereka buat saya lebih jauh daripada Islam…dengan benda yang macam ini, dorang (mereka) buat saya, mungkin dorang (mereka) ingat dorang (mereka) boleh bagi iktibar…bukan.

“Saya lebih takut dan saya rasa lebih baik keluar daripada agama ini. Sebab saya lahir pun dalam Islam dan saya ikut sahaja apa yang mak saya ajar, saya buat.

“Rupa-rupanya…tak tahulah,” katanya.

Semalam, polis Selangor bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan JAIS dalam pencarian Sajat.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya bersedia membantu JAIS dalam mengesan Nur Sajat yang menghilangkan diri selepas waran tangkapnya dikeluarkan.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad berkata, kerjasama itu bukan sahaja dalam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah, sebaliknya dalam semua perkara.

“Jais akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menguatkuasakan segala undang-undang termasuk berkaitan kes terbabit,” katanya.

Pada 23 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung berpakaian seperti wanita dan menghina Islam.

Menurut sumber Wacana.my, Sajat dipercayai menghilangkan diri sejurus selepas waran tangkapnya dikeluarkan mahkamah.

Sajat dipercayai melarikan diri ke tempat tidak diketahui ramai bagi mengelak dikesan JAIS.

Sumber memberitahu, kemungkinan besar Sajat masih berada di kawasan Lembah Kelang.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7  +  3  =