• Thursday, 17 June 2021, 2:23 pm

Sabar, gunakan peluang niaga sebaik mungkin – GPPPKMM

 Sabar, gunakan peluang niaga sebaik mungkin – GPPPKMM

Peniaga kecil dinasihati bersabar dan meneruskan usaha walaupun di waktu PKP (Gambar hiasan)

Oleh Supian Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Penjaja dan peniaga kecil perlu menggunakan peluang yang diberi kerajaan untuk meneruskan operasi perniagaan mereka meskipun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mohamed Zamri Mohamed. WMY/SUPIAN AHMAD

Setiusaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohamed berkata, mereka juga perlu bersabar dan meneruskan momentum perniagaan masing-masing.

“Kami harap peniaga bersabar dan ikut sahaja segala syarat yang ditetapkan kerajaan. Lambat laun orang akan keluar dan perniagaan akan bertambah elok.

“Ini berbeza kalau penjaja dan peniaga menutup perniagaan sementara, di mana keadaan akan jadi lebih teruk kerana tiada langsung pendapatan yang mereka akan dapat.

“Walaupun perniagaan tidak serancak seperti sebelum ini, sekurang-kurangnya masih ada  rezeki untuk keluarga,” katanya ketika dihubungi Wacana.my, hari ini.

Isnin lalu, Wacana.my melakukan tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara selepas kerajaan hanya membenarkan operasi perniagaan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Rata-rata peniaga lebih rela menutup perniagaan buat sementara waktu bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian yang lebih banyak kerana ketiadaan pelanggan.

Keluh mereka, pelaksanaan PKP 3.0 walaupun tidak melibatkan penutupan premis perniagaan namun ia tetap menjejaskan pendapatan dan ada kala terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Untuk itu, Mohamed Zamri mengulangi harapannya supaya peniaga terus bersabar dan memanfaatkan peluang berniaga sebaik mungkin.

“Selagi ada peluang berniaga, berniagalah. Gunakan peluang ini sepenuhnya. Bukan persatuan tak bantu ahli, tapi itulah realiti yang sebenarnya.

“Persatuan sedia maklum permasalahan ini dan perkara ini telah dibawa ke dalam mesyuarat bersama kementerian yang berkaitan.

“Sabar dan berilah masa dalam seminggu dua dan kita lihat bagaimana keadaannya… mungkin situasi akan menjadi lebih baik,” katanya.

 

Supian Ahmad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *