Sabah lantik Chong Wei sebagai duta pelancongan

 Sabah lantik Chong Wei sebagai duta pelancongan

KOTA KINABALU, 27 Okt — Kerajaan Sabah hari ini melantik legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebagai duta pelancongan negeri.

Chong Wei akan memainkan peranan sebagai Duta Pelancongan Sabah sehingga Disember tahun depan.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Arifin ketika majlis taklimat dan makan tengah hari bersama Chong Wei, di sini.

Bercakap kepada wartawan, jaguh badminton itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri itu atas pelantikan tersebut dan berharap beliau dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Saya amat gembira. Saya tahu Sabah sangat terkenal. Saya sering bertanding di China dan Taiwan, dan semua orang tahu mengenai negeri ini. Sabah negeri yang sangat besar.

“Saya harap dapat membawa keluarga dan anak-anak saya datang ke Sabah dan melawat banyak tempat menarik di sini, sekali gus saya boleh berkongsi lebih banyak maklumat di samping mempromosikan pelancongan di Sabah dan membawa lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.

Sementara itu, Jafry berkata Chong Wei dipilih sebagai duta kerana reputasinya di peringkat dunia menerusi pencapaian luar biasa di arena antarabangsa, memenangi banyak kejohanan selain peminatnya di seluruh dunia terutama di rantau ASEAN, Asia Pasifik, China, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan United Kingdom.

“Negara-negara tersebut merupakan sebahagian daripada pasaran tradisi dan penyumbang terbesar kepada ketibaan pelancong ke Sabah sebelum COVID-19. Ini sudah pasti berita yang bagus kepada semua dan harapan meyakinkan kepada industri pelancongan,” katanya.

Dengan pencapaian cemerlang jaguh badminton itu, Jafry berkata kementeriannya yakin peranan Chong Wei sebagai duta pelancongan akan membantu melonjakkan industri pelancongan negeri itu ke tahap lebih tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata terdapat cadangan untuk mewujudkan akademi badminton Lee Chong Wei di Sabah dan perkara itu telah dibangkitkan ketika kunjungan hormat kementeriannya dan Chong Wei ke atas Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, semalam.

“Ia untuk kebaikan rakyat Sabah yang meminati sukan badminton dan mungkin juga akan digunakan sebagai pusat latihan bagi pelancong serta pemain dari luar negara. Jika ini menjadi kenyataan, ia akan turut membantu industri pelancongan Sabah,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  2