Rumah ditenggelami air tiga kali sebulan, wakil Ahli Parlimen kata ‘fenomena biasa’

 Rumah ditenggelami air tiga kali sebulan, wakil Ahli Parlimen kata ‘fenomena biasa’

BAGAN DATUK 29 JUN 2021. Penduduk di Kampung Pasang Api, Ishak Abdul Manaf menunjukkan kesan hakisan yang berlaku. WMY/SUPIAN AHMAD

Oleh Suraya Ali

BAGAN DATUK, 30 Jun —  Penduduk Kg Pasang Api di sini resah rumah mereka ditenggelami air sungai yang melimpah setiap kali air pasang tinggi.

Sekurang-kurangnya empat buah rumah akan ditenggelami air setiap kali berlaku fenomena air pasang besar di Sungai Perak.

Penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan dan petani itu memberitahu Wacana.my kejadian telah berlarutan sejak dua tahun lalu apabila tembok penahan yang runtuh di Kampung Pasang Api dan Kampung Teluk Penikam sepanjang 120 meter yang mengakibatkan berlakunya banjir di kedua-dua kawasan itu.

Namun mereka mendakwa kejadian semakin menjadi-jadi sejak lima bulan lalu sehingga melibatkan banyak kerosakan harta benda.

Warga emas, Salbiah Rozali, 74 antara yang terkesan dengan kejadian tersebut merayu tindakan segera pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak bagi mengelak perkara sama berulang.

“Peralatan dan perkakas rumah musnah semuanya, dan saya perlukan sekurang-kurangnya RM2,000 setiap bulan untuk membersihkan rumah dan memperbaiki sendiri laluan masuk ke rumah saya,” katanya.

Walaupun kos membersihkan dan membaik pulih rumahnya agak tinggi, Salbiah tidak mengharapkan bantuan barangan atau kewangan semata-mata.

“Saya dah tak harapkan bantuan duit atau perkakas rumah, saya merayu agar kerajaan utamakan perbaiki benteng yang pecah agar saya boleh hidup dengan tenang,” katanya.

Salbiah berkata sebelum Perintah Kawalan Pergerakan PKP tahun lalu beliau berniaga nasi lemak di warung di hadapan rumahnya.

“Sejak COVID-19 melanda saya putus punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga susulan pelanggan tidak lagi mengunjungi warung saya jadi, saya hanya bergantung kepada anak yang bekerja sebagai pemandu lori di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ishak Abdul Manaf, 35 mencadangkan tindakan paling cepat iaitu menggunakan batang kelapa.

“Tak apalah belanjawan juta-juta yang dijanjikan dulu,  sementara nak selesaikan urusan duit, bantulah kami dengan batang kelapa pun tak apa asalkan air sungai dapat dihalang dari memasuki rumah,” katanya.

Ishak juga membaiki sendiri laluan masuk ke kawasan rumahnya.

“Adalah orang kerajaan mai (datang) tengok-tengok, lepas tu tambak dengan lecah (tanah merah).

“Tiap kali hujan kereta tak boleh lalu, saya keluarkan modal sendiri beli batu dan konkrit untuk memperbaiki titi menyeberangi alur air untuk masuk ke kawasan rumah,” katanya.

Sepupu Ishak yang juga penduduk Kg Pasang Api, mendakwa kejadian air pasang besar di kawasan itu lazimnya bermula jam 3 petang dan berakhir 3 atau 4 jam selepas itu namun ia kerap berlaku.

Norizad Nabil, 27 yang kehilangan kerja ketika PKP tahun lalu berkata, apa yang paling sedih adalah apabila makciknya terpaksa memasak juadah berbuka puasa dalam keadaan rumah gelap dan ditenggelami air.

“Tiap kali air masuk, kami akan menutup suis elektrik utama kerana bimbang berlaku litar pintas. Ketika Ramadan tahun ini saya terkedu apabila makcik saya seakan sudah redha dengan keadaan yang menimpa kami dan tetap menyiapkan juadah berbuka di dalam keadaan gelap dan ditenggelami air,” katanya.

Kesal dengan kata-kata wakil Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan perkara itu adalah fenomena biasa, Norizad berkata apakah pegawai kepada Ahli Parlimen itu tidak peduli dengan nasib rakyat.

“Sudahlah Ahli Parlimen pun tak nampak batang hidung, dihantarnya sahaja wakil yang seakan-akan meremehkan masalah kami di sini,” katanya.

Rata-rata penduduk yang ditemui di Kampung Pasang Api menyatakan kebimbangan sekiranya kerosakan itu tidak diperbaiki segera, banjir yang lebih besar dan melibatkan kerosakan yang lebih banyak mungkin berlaku.

Wacana.my akan mendapatkan komen dari JPS Perak berhubung perkara tersebut.

 

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  3  =