Rumah baharu rezeki Ramadan buat Patimah 

 Rumah baharu rezeki Ramadan buat Patimah 

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 1 Mei – Ramadan kali ini begitu bererti buat warga emas cacat penglihatan Patimah Kundur, 83, apabila menerima rumah baharu bagi mengantikan rumahnya yang musnah terbakar, Januari lalu.

Rumah bernilai RM65,000 itu terletak di Kampung Pekan Lama, di sini dan dibina oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan sokongan beberapa agensi lain.

“Saya bersyukur dan hanya mampu mengucapkan terima kasih pada MUIP yang menyediakan rumah baharu untuk saya berteduh. Ini pemberian paling bermakna dalam hidup ini apatah lagi dalam bulan Ramadan.

“Saya macam bermimpi apabila dapat rumah baharu in,” katanya ditemui, di sini semalam.

Patimah tinggal bersama anak yang membantu menguruskan dirinya yang tidak lagi mampu untuk berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda.

“Aidilfitri akan datang kami sekeluarga dapat beraya di rumah baharu namun kenangan rumah lama tidak mungkin dapat dilupakan. Walaupun tidak dapat melihat tapi saya tahu rumah ini cantik dan istimewa” katanya.

Sementara itu, Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, rumah Patimah musnah dalam kejadian kebakaran pada 27 Januari lalu menyebabkan beliau sekeluarga kehilangan tempat berteduh.

MUIP kemudian meluluskan peruntukan RM65,000 untuk membina rumah baharu warga emas itu.

“Rumah baharu yang disediakan diharap dapat memberi lebih keselesaan kepada Patimah dan anaknya,” katanya.

Selain membina baharu, MUIP turut menyediakan kemudahan baik pulih rumah golongan miskin dan asnaf dalam usaha meringankan beban mereka.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  2