RTM sedia platform kempen untuk semua calon

 RTM sedia platform kempen untuk semua calon

JOHOR BAHRU, 29 Januari – Kerajaan sedia platform kepada semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk berkempen menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu bagi memberi ruang sama adil kepada semua pihak sama seperti PRN Melaka pada tahun lalu apabila bukan sahaja calon pembangkang tetapi Bebas juga diberikan peluang yang sama.

Annuar (kanan) semasa ditemu bual dalam konti di pejabat RTM Johor, Johor Bahru, hari ini

“Boleh, termasuk juga calon parti pembangkang selagi mana ia tidak disalahgunakan dan atas usaha melengkapkan proses demokrasi menjadikan negara kita mengamalkan demokrasi matang. 

“Ini bagi membolehkan rakyat mengenali mereka kerana rakyat berhak tahu siapa calon mereka sebelum membuat keputusan mengikut pilihan sendiri. Jadi tidak timbul masalah daripada segi itu,” katanya selepas menghadiri program temu bual dengan Radio Johor.FM di pejabat RTM Johor, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Annuar menasihatkan semua pihak yang bertanding termasuk kepimpinan parti masing-masing untuk tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

Mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PRN Johor diadakan kerana mengikut desakan kluster mahkamah dalam UMNO, beliau berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, kenyataan Hadi itu tidak bersandarkan fakta atau sumber maklumat yang sahih.

“Kenyataan ini tidak tepat, saya sendiri duduk dengan kepimpinan parti dan kita semua menghormati keputusan dibuat Menteri Besar Johor dan juga menjunjung kasih perkenan Sultan Johor.

“Menteri Besar Johor tidak buat keputusan itu secara sendirian. Beliau sudah membuat perundingan dengan anggota kerajaan di peringkat Pusat dan negeri, saya percaya pertimbangan mendalam telah dibuat,” katanya. – ENDS

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +    =  12