Rotan sega mas sumber rezeki keluarga

 Rotan sega mas sumber rezeki keluarga

Rozita menghasilkan rotan untuk pelbagai kegunaan di Kampung Orang Asli Merbau.

MARAN, 20 Jul — “Saya menjual rotan ini bukan bertujuan untuk digunakan bagi merotan anak di rumah, tapi hanya sebagai sumber rezeki saya sekeluarga,” kata wanita orang asli, Rozita Yusof, 50.

Dia yang menetap di Kampung Orang Asli Merbau, di sini berkata, setiap bulan dia mampu membekalkan antara 3,000 hingga 10,000 batang rotan jenis sega mas kepada seorang pemborong di Ipoh, Perak yang datang mengambil di kampungnya.

Menurutnya, bagi mendapatkan rotan dia perlu masuk ke hutan terletak 15 hingga 30 kilometer daripada rumahnya, di mana rotan jenis sega mas banyak tumbuh di tepi Sungai Pahang dan kawasan berpaya.

Katanya, dia ditemani anaknya ke hutan untuk mencari rotan dan proses mendapatkan tumbuhan berduri itu bukan mudah. Pokok rotan menjalar di atas pokok dan perlu ditarik beberapa kali sebelum boleh dibawa pulang.

proses menjemur rotan dilakukan antara dua hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca.

“Proses mencuci, membuang kulit mati dan memotong mengikut saiz sepanjang setengah depa orang dewasa ditetapkan pemborong dilakukan rumah. Sebelum dijemur proses menjalin dilakukan.

“Rotan perlu dijemur hingga kering bagi mengelak mudah rosak, masa diambil untuk menjemur antara dua hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya, di sini pada Sabtu.

Menurut nenek kepada lapan cucu itu, dia melakukan kerja mencari rotan sejak 20 tahun lalu sebagai sumber pendapatan tambahan, permintaan rotan tidak menentu bergantung kepada pemborong yang akan menghubunginya apabila ingankan bahan berkenaan.

Rozita berkata, pekerjaan utamanya ialah menoreh getah, apabila permintaan rotan bertambah dia akan masuk ke hutan beberapa hari bagi mendapatkan pokok berkenaan yang kini semakin berkurangan disebabkan ramai orang asli mencarinya.

“Saya menjual rotan yang siap diproses dengan harga 10 sen sebatang, walaupun harganya rendah namun ia dapat menampung pendapatan keluarga yang kini tinggal bersama.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sudah berlarutan sekian lama menyebabkan saya tidak dapat memasarkan rotan yang siap diproses, pemborong tidak dapat datang untuk mengambilnya.

“Saya kini menyimpan lebih 5,000 batang rotan siap diproses, apabila kebenaran merentas negeri boleh dilakukan mungkin pemborong akan datang mengambil rotan saya,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *