Rosmah Mansor tidak hadir ke mahkamah, tiada waran tangkap dikeluarkan

 Rosmah Mansor tidak hadir ke mahkamah, tiada waran tangkap dikeluarkan

Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Tiada waran tangkap dikeluarkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang belum pulang dari Singapura untuk menghadiri pendengaran di Mahkamah Rayuan walaupun Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan arahan agar dia kembali selewat-lewatnya pada 21 November.

Panel hakim sebulat suara memutuskan untuk tidak mengeluarkan waran tangkap biarpun Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram meminta panel hakim agar berbuat demikian.

Ia selepas mereka mendengar penjelasan peguam Rosmah, Jagjit Singh bahawa perkara itu disebabkan “kelalaian” dan dia bertanggungjawab penuh atas ketidakhadiran isteri bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Rosmah sepatutnya hadir di Mahkamah Rayuan pada Khamis untuk mengikuti rayuannya untuk menarik balik Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan rasuahnya yang dikaitkan dengan kes hibrid solar RM1.25 bilion.

Peguam Rosmah yang diketuai oleh Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader telah memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan (COA) melalui sepucuk surat pada Rabu bahawa anak guam mereka masih berada di Singapura dan akan pulang ke Malaysia pada 6 Dis.

Pada 15 Oktober, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Rosmah untuk mendapatkan passportnya secara sementara dari 15 Oktober hingga 6 Disember untuk membolehkannya ke Singapura, tetapi meletakkan syarat ketat untuk Rosmah hanya berlepas ke Singapura dari 22 Oktober dan menegaskan bahawa dia mesti kembali ke Malaysia pada 21 November.

Rosmah kini sedang dibicarakan atas satu pertuduhan meminta suapan dan dua pertuduhan rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  1  =